Kuala Lumpur : Penyanyi juga selebriti serba boleh, Ifa Raziah, 49, menerima kecaman hebat netizen apabila didakwa memperlekeh kaum Iban menerusi komen ditulisnya.
Malah, Ifa dianggap sengaja mencetuskan provokasi mengguris perasaan banyak pihak dengan meninggalkan komen pada hantaran dibuat rakannya di Instagram (IG).
Terdahulu, komen Ifa itu dikongsikan seorang pengguna aplikasi Threads yang memuat naik tangkap layar hantaran berkenaan di akaun media sosialnya.
“Terkejut aku. Ingatkan perempuan Iban mana yang tersesat,” komen Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha.
Komen itu menyebabkan pemilik akaun Threads terbabit mempersoalkan tindakan Ifa yang dianggap tidak menghormati etnik kaum di Sarawak itu.
Rata-rata netizen meninggalkan komen kesal dengan tindakan Ifa kerana kurang peka sensitiviti kaum.
“Dia tiada cermin tu. Perempuan Iban semua cantik,” komen seorang netizen.
“Jangan main-main dengan bangsa Iban. Orang Iban sikit pun tak kacau kau,” tulis seorang wargamaya.
Meninjau juga di akaun IG rakan Ifa itu, hantaran foto dibuatnya sudah dipadamkan.
Bagaimanapun, Ifa ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




