lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kumpulan koir Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1, ‘Les Chanteurs’ mengharumkan nama negara apabila berjaya merangkul dua pingat emas pada Festival Koir Antarabangsa Bali ke-15 di Indonesia, 30 Julai lalu.
Kumpulan yang terdiri daripada 43 murid itu berjaya menampilkan prestasi mantap ketika berentap dengan hampir 70 pasukan dari 11 negara termasuk Indonesia, Korea Selatan, China, Amerika Syarikat dan Filipina.
Guru penyelaras Les Chanteurs, Adlia Syazanna Abas berkata, kejayaan itu amat bermakna kerana ia adalah penyertaan sulung sekolah dalam Festival Koir Antarabangsa Bali, sekali gus memberi peluang kepada murid membawa nama sekolah dan Malaysia ke pentas dunia.
Katanya, kekuatan Les Chanteurs terletak pada keupayaan ahli kumpulan menyampaikan penceritaan melalui nyanyian, ekspresi wajah, pergerakan pentas dan kesatuan suara.
“Bagi kategori Children’s Choir, kami mempersembahkan lagu ‘Singkap Siaga’ dan ‘Nara’, manakala kategori Pop & Jazz pula membawakan lagu ‘Believer’ serta ‘Jiwa Muda’.
“Walaupun semua penyanyi masih di bangku sekolah rendah, mereka berjaya mempersembahkan lagu yang mencabar dengan penuh keyakinan, tenaga dan kematangan.
“Kami juga menampilkan identiti Malaysia melalui semangat, gaya persembahan dan kebersamaan setiap ahli di atas pentas,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat konduktor dan jurulatih utama, Azahar Abdullah bersama jurulatih Rabiatul Rabaah Baharuddin, pemuzik pengiring Dr Mohd Fairuz, guru serta sokongan ibu bapa.
“Pasukan Les Chanteurs menjalani persiapan selama kira-kira lapan bulan dengan latihan diadakan dua kali seminggu.
“Persediaan bukan hanya tertumpu kepada latihan vokal, malah meliputi proses pemilihan murid, pembahagian suara, penguasaan repertoir, koreografi, ekspresi, persembahan pentas, pemilihan kostum serta pembentukan disiplin dan daya tahan.
“Menjelang pertandingan, latihan dijalankan dengan lebih intensif bagi memastikan murid benar-benar bersedia dari aspek vokal, mental dan fizikal,” katanya.
Adlia Syazanna berkata, Les Chanteurs meraih dua pingat emas dalam kategori Children’s Choir dan Pop & Jazz yang masing-masing memerlukan kemahiran vokal, interpretasi serta gaya persembahan berbeza.
“Kami sangat bersyukur, bangga dan terharu apabila nama Les Chanteurs serta Malaysia diumumkan sebagai penerima anugerah emas.
“Kemenangan ini bukan sekadar membolehkan kami membawa pulang dua pingat emas dan sijil pencapaian, tetapi turut membuktikan murid sekolah rendah Malaysia mampu memberikan persembahan berkualiti di pentas antarabangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




