PPM tumpas kegiatan seludup minyak masak bersubsidi, 3 lelaki ditahan

PPM tumpas kegiatan seludup minyak masak bersubsidi, 3 lelaki ditahan

am@hmetro.com.my

Sandakan: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menumpaskan kegiatan menyeludup minyak masak bersubsidi dan menahan tiga lelaki dalam serbuan di tepi Sungai Seguntor, Sibugal Besar, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, pasukan penguat kuasa turut merampas sebuah bot, lori tiga tan serta sejumlah besar minyak masak bersubsidi pelbagai jenama.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan lebih RM160,000.

Menurutnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Ketiga-tiga individu itu ditahan untuk siasatan lanjut. Kesemua minyak masak bersubsidi itu disyaki cuba diseludup ke negara jiran.

“Kita akan terus memperhebat risikan dan operasi penguatkuasaan bagi memerangi ketirisan serta penyeludupan barang kawalan bersubsidi khususnya yang cuba dibawa keluar dari negara ini,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Ahmad Amri berkata, bagi tempoh Januari sehingga semalam, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 95 kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membabitkan 91 tangkapan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan melebihi RM25 juta.

Menurutnya, pasukannya kekal komited dalam memastikan setiap bentuk ketirisan dan penyeludupan dapat dibanteras bagi melindungi kepentingan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top