Sempena perayaan Krismas yang akan tiba, pasti ramai teruja melihat pelbagai tempat dihiasi dekorasi yang menarik.
Ada pokok Krismas, patung Santa Claus dan sebagainya kan? Namun, ada persoalan timbul dalam kalangan umat Islam mengenai hukum mengambil gambar bersama dekorasi perayaan agama lain.
Bolehkah bergambar dengan dekorasi Krismas, Santa Claus?
Adakah ianya dibenarkan dalam agama? Jom dengar penjelasan daripada pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) ini.
Menurut beliau, bergambar bersama pokok Krismas tidak haram, tetapi umat Islam dilarang menghias pokok tersebut di rumah sehingga boleh menimbulkan salah sangka bahawa ia adalah rumah orang Kristian.
Ustaz Azhar menjelaskan lagi, umat Islam tidak boleh meniru perbuatan agama lain, apatah lagi jika ia menimbulkan salah faham atau membawa kepada kepercayaan yang bertentangan dengan akidah.
Haram letak depan rumah sehingga menimbulkan salah faham

Dia ambil pokok Krismas pada malam 24hb, dia letak depan rumah dengan lampu-lampu. Orang lalu lalang ingat dia Kristian, di situ haram. Kalau setakat pokok itu perhiasan di mall, bergambar bersama anak-anak, hukumnya tidak haram.
Pesan pendakwah ini lagi, hukum bergambar adalah dibolehkan namun umat Islam dilarang memuliakan upacara agama lain.
Ingat, setiap perayaan orang kafir kita kena beritikad (percaya) apa yang mereka buat adalah batil (tidak benar).
#OhmediaNasihat
Sebagai umat Islam, kita perlu bijak dalam memahami batas agama, terutama ketika melibatkan simbol-simbol agama lain. Bergambar untuk sekadar kenangan tidak menjadi masalah, tetapi pastikan ia tidak melanggar syariat atau menyebabkan salah sangka. Jaga akidah dan elakkan perkara yang boleh membawa keraguan kepada kepercayaan kita.





