XOX sasar wujud 100,000 pekerjaan dalam bidang telekomunikasi

XOX sasar wujud 100,000 pekerjaan dalam bidang telekomunikasi

bizh-xox13 – Bisnes-lain-lain

zaky@bh.com.my

KUALA LUMPUR: XOX Mobile Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh XOX Bhd merancang mewujudkan 100,000 pekerjaan baharu di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang dalam bidang telekomunikasi yang diceburinya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan XOX Mobile, Ng Kok Heng, berkata rancangan itu selaras dengan usaha syarikat dalam memperkasakan rakyat Malaysia untuk memulakan karier dalam industri berkenaan.

Katanya, tenaga kerja tambahan itu akan memperlihatkan pertumbuhan pendapatan yang positif, sejajar dengan matlamat XOXO menjadi syarikat yang didorong oleh teknologi utama.

“Kami gembira melihat jumlah peniaga yang berkembang melalui perniagaan mudah alih dan Platform Program ePartnership.

“Kami memiliki 30,000 peniaga ketika ini dan merancang meningkatkan angka berkenaan kepada 100,000 peniaga dalam tempoh tiga hingga lima tahun,” katanya pada Kempen XOX Car Bonanza.

Kok Heng berkata, Program Peniaga XOX dimulakan sebagai usaha berterusan untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia.

Katanya, program berkenaan menawarkan peserta peluang menjana pendapatan sehingga RM3,000 atau lebih bergantung kepada usaha.

“Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami tahu ramai yang diberhentikan dan mencari peluang untuk meraih pendapatan.

“Mereka mendaftar di platform kami, menggunakan produk kami untuk dijual ke pasaran terbuka seterusnya menjana kehidupan yang baik hari ini,” katanya.

Beliau berkata, sebagai syarikat yang didorong teknologi, XOX melalui revolusi digital dengan menyediakan ekosistem digital kukuh kepada peniaga.

“XOX lebih menumpukan pada perkhidmatan dan penyelesaian pengguna akhir terutama dalam bidang teknologi e-dagang dan kewangan, dengan harapan dapat mewujudkan platform, produk dan perkhidmatan yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang rajin untuk mempelbagaikan aliran pendapatan.

“Peniaga yang mengambil bahagian terdedah kepada pelbagai jenis produk dan usaha perniagaan yang akan mewujudkan sumber pendapatan yang berkesinambungan untuk individu dan isi rumah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top