rnoraina@hmetro.com.my
Kajang: Suasana sayu dan suram menyelubungi Surau Al-Ikhlas, Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi di sini, yang menjadi lokasi terakhir jenazah lima sekeluarga sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan.
Khairul Ikhwan Mazupi, 32; bersama isteri Fadzlenna Ramli, 32 dan anak mereka, Muhammad Umar, 2; maut dalam kemalangan di Kilometer 204, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Alor Gajah, semalam.
Turut terkorban adalah ibu bapa Fadzlenna iaitu Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69.
Kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan menghadiri majlis penghormatan terakhir itu meskipun hujan lebat.
Jenazah lima sekeluarga itu akan disembahyangkan di surau berkenaan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi, di sini, petang ini.
Difahamkan, kesemua jenazah sedang dalam perjalanan dari Hospital Melaka.
Dalam kejadian 8.40 malam tadi, tujuh orang dilaporkan maut termasuk kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.
Siasatan awal mendapati ia berpunca daripada tayar lori yang tercabut berada di tengah lebuh raya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




