am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kemalangan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Alor Gajah, Melaka, malam tadi memberi tamparan hebat kepada keluarga pemandu bas persiaran yang terbabit nahas itu.
Anak sulung Allahyarham Noorisnien Khamid iaitu Mohamad Norzuhairi, 33, berkata, dia menerima maklumat kemalangan yang meragut nyawa bapanya daripada rakan pada 9.50 malam.
Adiknya, Siti Norizyan, 30, kemudian menelefon tiga hospital di sekitar Melaka untuk mendapatkan kepastian mengenai kemalangan berlaku dan memeriksa sekiranya nama bapanya ada di mana-mana unit kecemasan.
“Tetapi nama abah tiada di mana-mana bahagian kecemasan. Ketika itu saya yakin arwah abah sudah meninggal dunia,” kata Siti Norizyan.
Mohamad Norzuhairi menggambarkan arwah bapanya seorang yang pendiam, tegas namun ada kalanya kelakar.
“Kami tinggal berjauhan, tetapi kami rapat dan kerap berhubung. Kali terakhir WhatsApp dengan abah pada Rabu lalu, manakala kali terakhir kami bertemu di kenduri sepupu, Oktober lalu.
“Saya terkilan, ada pesanan dan permintaan abah yang saya tak sempat tunaikan sebab tidak sangka kejadian ini berlaku dan apa yang dia pesan itu rupanya adalah permintaan terakhirnya,” katanya yang reda atas pemergian bapanya itu.
Terdahulu jenazah Noorisnien, 56, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Maju Jaya, di sini pada 5.30 petang selepas disembahyangkan di Masjid Jamek Al-Falah selepas Asar.
Kira-kira 100 ahli keluarga termasuk empat anak arwah, cucu, kenalan dan jemaah masjid hadir memberi penghormatan terakhir.
Allahyarham yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik menetap di Kampung Tawakal, Kempas di sini.
Kemalangan 8.40 malam itu membabitkan bas persiaran dipandu Noorisnien, lori foton, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.
Tujuh terkorban dalam tragedi berkenaan, termasuk lima sekeluarga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




