Lewis Hamilton bakal 'bos' MotoGP KTM

Lewis Hamilton bakal 'bos' MotoGP KTM

London:Juara Dunia Formula 1 tujuh kali, Lewis Hamilton, dikhabarkan sedang dalam perbincangan untuk melabur dalam pasukan MotoGP KTM.

Pemandu dari Britain ini, yang sebelum ini menyatakan minat untuk terbabit dalam dunia MotoGP, dikatakan sedang berunding pembelian saham dengan pengeluar motosikal Austria itu.

Pit Beirer, Pengarah Motorsport di KTM, mengesahkan kepada penerbitan Jerman Speedweek bahawaada perbincangan dengan pengurusan Hamilton mengenai kemungkinan kerjasama.

“Yang boleh saya katakan adalah kami menjalankan perbincangan yang sangat menarik dengan pengurusan beliau.

“Tidak menjadi rahsia lagi bahawa Lewis Hamilton berminat dengan MotoGP dan sedang berfikir untuk memiliki pasukannya sendiri. Ada perbincangan konkrit mengenainya juga,” kata Beirer.

Walaupun Hamilton belum membuat pelaburan rasmi dalam pasukan MotoGP, pada awal tahun ini, beliau dikaitkan dengan kemungkinan membeli pasukan satelit Gresini Racing.

KTM yang menghadapi cabaran kewangan dan pembangunan yang besar, mungkin sedang mencari pelabur baru, terutamanya dengan pengenalan peraturan teknikal yang akan berkuat kuasa pada 2027.

Pengilang motosikal Austria itu juga dikatakan sedang menghadapi kesulitan kewangan, dengan liabiliti yang dianggarkan bernilai tiga bilion euro.

Bagi Hamilton, ini bukanlah kali pertama beliau membabitkan diri dalam pelaburan di luar Formula 1.

Beliau kini adalah pemilik bersama pasukan bola sepak Amerika Denver Broncos, menunjukkan minatnya yang semakin berkembang dalam pelaburan sukan.

Hamilton, yang menamatkan musim terakhirnya bersama Mercedes pada 2024 setelah menyertai pasukan itu pada 2013, akan berlumba untuk Ferrari mulai musim 2025.

Sepanjang kariernya, Hamilton meraih enam kejuaraan pemandu, 84 kemenangan perlumbaan, dan 153 podium.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top