New Delhi: Seorang wanita warga India yang tidak pernah memotong rambutnya sejak 2015 mendapat pengiktirafan Rekod Dunia Guinness (GWR) selepas rambutnya dicatatkan sepanjang 2.69 meter.
Memetik laporan United Press International (UPI), Renu Dhariyal, seorang pencipta kandungan yang sering berkongsi petua kecantikan di YouTube dianugerahkan gelaran bagi kategori rambut terpanjang dalam kalangan individu hidup (wanita).
Beliau merampas gelaran berkenaan daripada pemegang rekod terdahulu dari Ukraine, Aliia Nasyrova, yang mempunyai rambut sepanjang 2.57 meter.
“Saya membiarkan rambut saya tumbuh secara berterusan sejak 2015. Dalam budaya India, rambut panjang dianggap sebagai lambang keanggunan dan tradisi yang sangat tinggi dan itulah yang mengilhamkan saya untuk membiarkannya tumbuh sepanjang ini,” katanya kepada GWR.
Menurutnya, memiliki rambut yang begitu panjang memerlukan penjagaan yang sangat teliti.
“Ia memerlukan kesabaran yang tinggi untuk menguruskan rambut panjang. Saya menghabiskan masa berjam-jam untuk membasuh dan merapikan rambut saya yang kusut,” katanya.
Katanya, penjagaan rambutnya banyak bergantung kepada penggunaan bahan semula jadi.
“Rahsia saya sepenuhnya berasaskan bahan semula jadi. Saya mengelak penggunaan produk berasaskan bahan kimia dan turut berkongsi ramuan minyak rambut serta syampu buatan sendiri tanpa bahan kimia di saluran YouTube saya,” katanya.
Sementara itu, rekod rambut terpanjang dalam sejarah bagi wanita masih dipegang oleh Xie Qiuping dr China yang rambutnya dicatatkan sepanjang 5.63 meter pada 2004.
© New Straits Times Press (M) Bhd




