Kapal layar Rusia terkandas di Kuala Oya jadi tarikan

Kapal layar Rusia terkandas di Kuala Oya jadi tarikan

am@hmetro.com.my

Kuching: Pantai Kampung Senau di Kuala Oya, Dalat dalam bahagian Mukah dekat sini, tiba-tiba menjadi tumpuan ramai sejak lebih 10 hari lalu.

Ia gara-gara sebuah kapal layar replika abad ke-18 Rusia tersangkut di beting pasir selepas di badai ombak dan ribut.

Keadaan itu berlaku apabila kapal layar dengan empat kru itu melalui perairan Oya ketika dalam pelayaran dari Filipina ke Kuching pada 20 Disember lalu.

Ramai yang teruja dan mahu melihat dengan lebih dekat kapal layar unik yang direka mengikut seni bina pada abad ke-18 itu.

Hasrat orang ramai untuk mendekati kapal layar replika itu dipermudahkan kerana ada nelayan tempatan yang turut menyediakan perkhidmatan bot untuk membawa pengunjung ke lokasi kapal itu tersadai.

Seorang pengunjung, Vanessa Kipul, 27, berkata, selepas mengetahui kejadian yang menimpa kapal itu, pantai itu yang sebelum ini sunyi, tiba-tiba meriah dengan kehadiran ramai pengunjung.

“Saya bersama beberapa ahli keluarga berkesempatan mengunjunginya kelmarin untuk melihat kapal itu lebih dekat.

“Reka bentuk kapal itu memang unik dan memang jarang ditemui. Itu yang membuatkan ramai ingin melihatnya,” katanya.

Kapal layar bernama ‘Pilgrim’ itu terkandas di beting pasir itu pada 6.30 petang, 20 Disember lalu.

Kapal layar berkenaan yang dinaiki empat warga Rusia dalam pelayaran dari Filipina ke Kuching selepas persinggahan terakhir mereka di perairan negara adalah di Labuan, pada tengah hari 20 Disember.

Menurut kapten kapal itu, Sergei Sinelnik, 55, ketika melalui perairan Miri, alat navigasi Global Positioning System (GPS) kapal mereka mengalami kerosakan dan pada masa yang sama berhadapan dengan keadaan laut bergelora serta ribut.

Mereka belayar tanpa alat pandu arah dan apabila tiba di Kuala Oya, mereka cuba memasuki muara sungai untuk mencari perlindungan, namun kapal tersangkut di kawasan cetek.

Kejadian itu disedari penduduk kampung namun mereka sukar ke lokasi kapal itu tersangkut untuk memberi bantuan berikutan keadaan cuaca buruk.

Ketua Polis Daerah Dalat Deputi Superintendan Saga Chunggat berkata, sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu beliau mengarahkan pegawai dan anggotanya membuat tinjauan.

Mereka akhirnya berjaya sampai ke lokasi kapal itu apabila keadaan cuaca beransur baik pada 10 malam dan menemui empat warga Rusia itu berlindung di tepi pantai berkenaan.

Pelbagai usaha dilakukan untuk mengeluarkan kapal itu dari beting pasir berkenaan sejak 21 Disember lalu, namun pasukan penyelamat berdepan kesukaran dan apabila kedudukan kapal berjaya distabilkan, kerosakan dikesan pada bahagian bawah kapal itu.

Justeru, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah yang turut meninjau lokasi itu berkata, kapal itu sudah berjaya ditarik keluar oleh kontraktor tempatan semalam.

“Selepas berjaya dikeluarkan, kerja pembaikan bahagian bawah kapal, enjin serta bahagian dalaman kapal akan dijalankan yang difahamkan akan mengambil masa lebih sebulan.

“Ketika ini, tiga kru termasuk kapten kapal menginap di chalet Lebuk Kaul Oya, manakala seorang kru balik ke Rusia dengan pembiayaan yang ditanggung oleh seorang usahawan tempatan, Mohd Jezeri Kipli,” katanya.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dalat berkata, hari ini beliau akan membawa kru kapal itu untuk membuat laporan di Balai Polis Oya dan kemudiannya membuat laporan rasmi dengan Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Selain Sinelnik, tiga lagi kru kapal itu yang semuanya berusia 45 tahun adalah Sergei Muravickiy, Valim Raficov dan Olec Golovankov.

Pilgrim dibina oleh Sinelnik di Petrozavodsk, Rusia dan mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan.

Di bahagian bawah dek Pilgrim menempatkan muzium terapung yang memaparkan model kapal kayu purba, ukiran seni kayu dan gambar pembinaan serta pengembaraan Pilgrim mengelilingi dunia sejak 2017.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top