Mungkin Allah sediakan sesuatu lebih baik – Aliff Aziz

Mungkin Allah sediakan sesuatu lebih baik – Aliff Aziz

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz mengakui dirinya tidak berada di tempat yang layak untuk mengulas berhubung isu ketiadaannya di televisyen menerusi sebarang projek drama sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut Aliff, 35, dia percaya setiap rezeki dan tawaran dalam bidang lakonan sudah pun ditentukan Tuhan dan tidak mampu untuk mengawal mana-mana pihak berkaitan pemilihan pelakon bagi sesuatu naskhah.

“Saya bukan bertugas di stesen televisyen (TV) tempatan. Jadi, saya sendiri tidak pasti dan tidak berani mengulas apa yang sebenarnya dibincangkan atau sama ada perkara itu benar atau tidak.

“Bagi saya, saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa di mana ada rezeki, di situlah saya akan memberikan yang terbaik.

“Katakan selepas ini ada peluang di stesen TV tempatan, saya juga akan lakukan sebaik mungkin. Bukan dalam kawalan atau kuasa saya untuk menentukan siapa yang dipilih atau tidak dipilih,” katanya.

Aliff berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama terbaharu terbitan platform penstriman iQIYI berjudul Madu Atau Racun di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Berkongsi sekiranya dakwaan mengenai isu penyekatan itu benar, Aliff tidak menafikan dia tetap mempunyai perasaan seperti manusia biasa.

“Sekiranya ada mendengar perkara seperti itu, sudah tentulah ada rasa sedih. Tetapi saya akan kembali mengingatkan diri bahawa mungkin Allah menyediakan sesuatu yang lebih baik.

“Apabila saya fikir ada yang lebih baik menanti, saya tidak terlalu tertekan. Walaupun ada yang berkata mereka tidak mahukan saya berada di sesuatu tempat, Alhamdulillah masih ada pihak lain yang memberikan peluang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Aliff tetap meluahkan rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk terus berkarya.

“Saya sangat bersyukur. Bukanlah saya hendak menunjuk atau berkata, ‘tengok, saya masih ada’, tidak. Rezeki itu ada di mana-mana. Jadi, apabila peluang itu datang kepada saya, saya akan menghargainya dan memberikan yang terbaik.

“Dalam banyak-banyak komen negatif, saya percaya masih ramai yang mendoakan saya, sama ada secara terbuka mahupun secara diam-diam. Saya benar-benar percaya kepada perkara itu,” kongsinya.

Pelantun lagu Sandar Padaku ini turut menyifatkan doa daripada ahli keluarga serta individu yang sentiasa menyokongnya menjadi antara kekuatan untuk dia terus bertahan dalam industri seni ini.

“Saya rasa saya masih berada di sini hari ini kerana doa ibu, ayah, adik-beradik dan juga doa daripada orang yang mungkin saya sendiri tidak kenal.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan kata-kata semangat.

“Sebab itu saya memilih untuk memberi tumpuan kepada perkara-perkara positif daripada melayan komen yang sekadar mahu menghina atau memaki,” ujar bekas suami kepada penyanyi dan pelakon, Bella Astillah ini.

Terdahulu, ketiadaan aktor kelahiran Singapura itu menerusi mana-mana naskhah televisyen tempatan mencetuskan tanda tanya penonton, sehingga ada yang mendakwa dirinya kini ‘digam’ oleh syarikat produksi tempatan.

Dalam perkembangan lain, Aliff membintangi drama Madu Atau Racun arahan Eyra Rahman yang akan mula menemui penonton di platform iQIYI pada 14 Ogos ini.

Drama 12 episod yang sarat dengan emosi dan konflik rumah tangga itu turut menampilkan pelakon popular lain seperti Uqasha Senrose, Elisya Sandha, Adlin Aman Ramlie, Liza Abdullah, Aprena Manrose dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top