zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) komited untuk terus memelihara amanah mengurus lebih 117,000 simpanan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan memastikan pulangan dividen yang konsisten dan mampan demi menjaga kebajikan pencarum.
Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, institusi itu memikul tanggungjawab besar kerana dana yang diuruskan adalah hasil caruman anggota ATM yang berkhidmat mempertahankan negara.
Beliau berkata, LTAT ketika ini mempunyai kira-kira 117,000 pencarum yang terdiri daripada anggota lain-lain pangkat dan pegawai ATM termasuk pegawai yang mula diwajibkan mencarum bermula 2016.
Katanya, fungsi utama LTAT adalah menyediakan jaringan keselamatan kewangan kepada anggota selepas menamatkan perkhidmatan dalam ATM.
“Caruman LTAT adalah untuk kehidupan selepas tamat kerjaya. Ia menjadi ‘safety net’ kepada pencarum apabila mereka bersara daripada perkhidmatan.
“Namun, bagi kebanyakan anggota lain-lain pangkat, tempoh perkhidmatan maksimum hanyalah sekitar 26 tahun dan ramai menamatkan perkhidmatan ketika berusia sekitar 40-an.
“Pada usia itu, mereka masih mempunyai tanggungjawab keluarga dan memerlukan sumber pendapatan untuk meneruskan kehidupan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Media Prima Berhad (MPB) di Balai Berita Bangsar, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Mohd Rafiq Razali, dan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) MPB, Farrah Naz Karim yang juga Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST).
Menurutnya, LTAT juga akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk organisasi media bagi memastikan maklumat mengenai inisiatif dan pencapaian institusi itu dapat disampaikan kepada masyarakat.
“Sebagai sebuah badan berkanun yang mempunyai mandat kepada anggota ATM, kami juga memerlukan kerjasama dan sokongan media industri untuk menyokong segala kegiatan dan aktiviti di LTAT.
“Segala perkara yang kami dapat lakukan itu perlu disampaikan dan Media Prima adalah antara platform terbaik untuk menyebarkan segala berita baik demi menjaga amanah yang diberikan untuk memberikan sumbangan kembali kepada anggota ATM,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




