Mahkamah Kuantan keluar waran tangkap terhadap 'Datuk Seri'

Mahkamah Kuantan keluar waran tangkap terhadap 'Datuk Seri'

am@hmetro.com.my

Kuantan: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Pengerusi Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) Datuk Seri Zuhairi Ab Kadir, kerana gagal hadir ke mahkamah hari ini.

Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan itu dijadual menghadiri prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Mustapha mengikut Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara 1965 kerana menduduki tanah negeri secara tidak sah.

Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Pahang (UPNP) Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap Zuhairi selepas dia gagal hadir sehingga jam 4 petang hari ini.

Terdahulu, Najmi Zaki memberitahu mahkamah notis sudah diserahkan kepada Zuhairi pada 31 Disember lalu untuk beliau hadir di mahkamah hari ini dan pemakluman itu sudah ditandatangani oleh beliau sebagai bukti sudah menerima notis berkenaan.

“Pegawai penyiasat cuba menghubungi pengerusi pertubuhan (Zuhairi) untuk hadir ke mahkamah bagi menjawab pertuduhan tetapi pihak pendakwaan percaya pengerusi pertubuhan itu enggan hadir ke mahkamah hari ini.

“Pihak pendakwaan meminta waran tangkap dikeluarkan terhadap pengerusi mereka bagi menjawab pertuduhan beliau di mahkamah,” katanya.

Najmi Zaki juga memberitahu mahkamah bahawa semakan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mendapati Zuhairi disenaraikan sebagai Pengerusi Pertubuhan Industri Pertanian Pahang.

Azman kemudian mengeluarkan waran tangkap dan menetapkan 6 Februari untuk sebutan semula.

Prosiding mahkamah hari dipercayai berkaitan dengan insiden pada Jun tahun lalu apabila dua anggota PPNP ditahan UPNP kerana menceroboh tanah negeri.

From: H

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top