sukan@hmetro.com.my
Seremban: Skuad hoki wanita Negeri Sembilan dan QNET Phoenix, masing-masing berpuas hati meraih satu mata selepas terikat 2-2, dalam aksi pembuka tirai saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2025, di Stadium Hoki Seremban 2, petang tadi.
Negeri Sembilan terlebih dulu membuka tirai jaringan pada minit keenam menerusi Nur Syasya Atirah Firdaus, sebelum Nur Iman Adawiyah Mohd Shuhaimi menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-22.
Menerusi hasil serangan balas pantas, Nurdini Batriasyah Redzuan kemudian meletakkan QNET Phoenix di depan hasil jaringan pada minit ke-48, namun kedudukan itu tidak berpanjangan apabila penyerang import Negeri Sembilan, Zuo Dandan, menyamakan kedudukan hasil jaringan pada minit ke-49.
Perlawanan yang terpaksa dihentikan kira-kira 30 minit pada separuh masa kedua kerana hujan tidak menghalang pemain kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga dan sering melakukan serangan bagi mendapatkan gol.
Jurulatih Negeri Sembilan, Shaiful Azli Abd Rahman menyifatkan keputusan seri itu sebagai suatu permulaan yang baik buat skuad bimbingannya kerana mereka berhadapan dengan pasukan lawan yang dibarisi pemain remaja kebangsaan.
“Satu mata hari ini adalah keputusan yang baik kerana kita menentang pasukan yang dibarisi pemain remaja kebangsaan berbanding kita tiada seorang pun pemain kebangsaan.
“Malah, kita ada peluang untuk mengutip tiga mata, namun ada beberapa kesilapan kecil dilakukan pemain sehingga menyumbang kepada gol kedua QNET.
“Apapun saya berpuas hati dengan tahap persembahan pemain yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang tempoh permainan, malah sebenarnya kita lebih mendominasi permainan.
“Saya berharap kita dapat tingkatkan lagi prestasi pada aksi kedua menentang Polis Diraja Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan.
Sementara itu, jurulatih QNET, Yusma Laili Abu Hassan Lailin, turut puas hati dengan persembahan dipamerkan anak buahnya walaupun hasrat untuk menguitp tiga mata tidak kesampaian.
“Saya puas hati dengan persembahan pemain dan keputusan yang dicapai hari ini, namun begitu kita mampu beraksi lebih baik.
“Kita berharap persembahan lebih baik dapat dipamerkan pada aksi kedua selepas ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

