rnoraina@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Kes kereta Perodua Axia milik penerbit filem yang juga pempengaruh media sosial musnah terbakar selepas ditinggalkan tepi jalan dekat sini, semalam, disyaki mempunyai unsur khianat.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, polis membuka kertas siasatan berhubung kes itu mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
“Polis menerima laporan daripada lelaki warga Nigeria berusia 39 tahun pada 2.19 petang semalam.
“Berdasarkan laporan, dalam kejadian 1.05 tengah hari itu pengadu mendakwa meletakkan kereta di Seksyen U4 Shah Alam untuk membuat rakaman video TikTok sebelum mendapati keretanya terbakar.
“Sepasukan pegawai dan anggota bomba hadir memadamkan kebakaran kereta dan Bahagian Forensik Bomba Selangor juga sudah menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bertindak atas laporan itu, Mohd Hafiz berkata, pihaknya membuka satu kertas siasatan untuk siasatan lanjut.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ekmal Hasif Mohd Noor di talian 011-35396787 atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kereta seorang penerbit filem musnah terbakar di Jalan Tasik Raja Lumu U5/17 Seksyen U5, di sini.
Bagaimanapun kebakaran Perodua Axia milik lelaki itu tidak membabitkan mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd



