Di mana Siti Khadijah?

Di mana Siti Khadijah?

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dilaporkan hilang dari kediaman keluarganya di Kampung Tok Muda, Karak, Pahang, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata polis menerima laporan kehilangan Siti Khadijah Abdul Rahman daripada ibu remaja terbabit pada 8.30 pagi tadi.

“Siti Khadijah kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berlengan panjang berwarna hijau dan putih serta berseluar jeans biru.

“Remaja terbabit berkulit sawo matang, berketinggian lebih kurang 157 sentimeter (sm), berat badan 40 kilogram (kg) dengan bentuk badan sederhana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaiham berkata, remaja itu kali terakhir dilihat di kediamannya di Kampung Tok Muda, Karak sebelum disedari hilang awal pagi tadi.

“Kita pohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan polis.

“Maklumat boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2231999,” katanya.

Selain itu, katanya orang ramai boleh mana-mana balai polis di bawah pentadbiran IPD Bentong seperti berikut, Balai Polis Bentong: 09-2222222, Balai Polis Genting Highlands: 03-61012222, Balai Polis Karak: 09-2311222, Balai Polis Lurah Bilut: 09-2377222, Balai Polis Manchis: 09-2450522, Balai Polis Bukit Tinggi: 09-2330222 dan Balai Polis Telemong: 09-2399222.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top