am@hmetro.com.my
Putrajaya: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diarah meneliti dan melaksanakan pusingan kerja ke atas semua penjawat awam yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan kerajaan.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan tempoh lima tahun untuk bertugas di kaunter perkhidmatan disifatkan terlalu lama.
“Jika kita berkhidmat lebih lima tahun di satu kaunter, kita patut ditukarkan dan dibuat proses pusingan kerja kerana (tempoh) lima tahun duduk menjaga kaunter adalah terlalu lama dan tidak bersesuaian.
“Oleh itu, saya mohon JPA boleh tengok semua kakitangan, pegawai kita yang berkhidmat di kaunter perkhidmatan lebih lima tahun, boleh dibuat pusingan kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2025 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, serta ketua perkhidmatan lain.
Dalam pada itu, ditanya mengenai mekanisme pusingan kerja membabitkan petugas di kaunter perkhidmatan kerajaan, Shamsul Azri berkata, ia bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Katanya, dengan pelaksanaan pusingan kerja itu, pergerakan besar-besaran membabitkan penjawat awam bakal berlaku.
“Kita pastikan bahawa (penjawat awam) ini akan kita ‘rotate’ (tukar) ke fungsi lain sebab jika awak lama sangat di perkhidmatan kaunter, menyebabkan awak tertekan, jadi kita kena bagi tugasan baharu, (ada) perubahan dalam kerjaya,” katanya.
Ditanya pula sama ada JPA akan mengeluarkan pekeliling khas berkaitan proses pusingan kerja berkenaan, beliau berkata, ia tidak perlu kerana proses pusingan kerja adalah perkara normal dalam perkhidmatan awam.
Shamsul Azri turut mengingatkan semua penjawat awam, khususnya ketua jabatan atau unit, supaya mengurangkan lawatan bersifat ‘ceremonial’ (keraian).
“Saya ingin berpesan, apabila kita pegawai kerajaan membuat lawatan, kita kena kurangkan lawatan bersifat ceremonial. Apabila kita melakukan lawatan seperti itu, banyak perkara yang kita tak nampak. Jadi, buatlah lawatan mengejut, kerana di situ kita akan menemui banyak perkara,” katanya.
Sementara itu, beliau menyentuh mengenai pelaksanaan inisiatif digital negara iaitu MyDigital ID yang disifatkannya sebagai perlahan dan tidak memuaskan.
“Projek pembangunan dan digitalisasi mesti dipercepatkan pelaksanaannya. Sebagai contoh, pendaftaran MyDigital ID masih di peringkat tidak memuaskan dan perlu dipertingkatkan pemahaman serta pendaftaran penjawat awam serta rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




