najiy.jefri@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Pelakon dan usahawan, Ben Ali, menepis spekulasi yang mendakwa rumah tangganya bersama isteri yang juga aktres Nadiyah Shahab, sedang menghadapi masalah.
Ben Ali, atau nama sebenarnya Nur Ali Nadzwan, 32, berkata, hubungan mereka masih harmoni selain sedang sibuk membuat persiapan untuk karnival pesta raya tahun ini.
“Tiada isu pun. Saya dan Nadiya okay saja. Malah hari ini kami berdua akan menghadiri sidang media bersempena dengan acara yang kami kendalikan tidak lama lagi.
“Saya tiada pula dengar desas-desus perkara yang tak baik dalam rumah tangga kami. Tapi biasalah, dalam melayari bahtera rumah tangga sudah pasti ada pasang surutnya.
“Jadi saya pun tidak nafikan mengenai perkara itu. Selagi kita boleh selesaikan berdua, kita akan cuba untuk selesaikan dengan cara yang terbaik.
“Rumah tangga kami pun sudah memasuki tahun yang ketujuh, sudah tentulah ia tidak berjalan sempurna sepanjang masa. Itu sahajalah.
“Memang tiada (isu pergolakan). Doakan yang baik-baik sahaja. Itulah yang kita minta daripada semua,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Ben, dia tidak terkejut dengan khabar angin mengenai rumah tangganya, kerana isu serupa membabitkan artis tempatan menjadi perhatian topik panas sejak kebalakangan ini.
“Saya tidak terkejut pun apabila isu ini timbul sebab mungkin tahun lepas ada banyak berita mengenai pasangan selebriti yang berpisah menjadi bualan.
“Kami pun tidak terlepas daripada dikaitkan. Kami masih suami isteri yang sah, tinggal sebumbung,” katanya.
Ben dan Nadiyah berkahwin pada 10 November 2018 di Singapura. Begitupun pasangan ini belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




