'Doakan kesembuhan untuk anak saya' – Amyza Aznan

'Doakan kesembuhan untuk anak saya' – Amyza Aznan

Kuala Lumpur: Pelakon Amyza Aznan, 50, mohon didoakan kesembuhan anak sulungnya, Andre Mikhail yang kini masih menerima rawatan di hospital akibat bendalir dalam paru-paru.

Menerusi hantaran di akaun Instagram (IG), Amyza juga berkongsi paparan mesej dikirimkan Andre Mikhail berhubung keadaan kesihatannya selepas perbincangan bersama doktor.

“Saya hanya mohon untuk doakan kesembuhan untuk anak saya… Andre Mikhail,” katanya berserta tanda pagar #thepowerofdua.

Ibu dua cahaya mata ini juga mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang menitipkan doa kepada anaknya itu.

“Terima kasih yang mendoakan anak saya,” tulisnya berserta emoji hati berwarna merah.

Meninjau di ruangan komen, ramai rakan selebriti menitip doa agar Andre Mikhail diberikan kesembuhan segera oleh Allah dan semoga Amyza sekeluarga tabah.

“MasyaAllah, moga Allah berikan kekuatan dan kesembuhan segera,” komen Azhan Rani.

“Semoga dipermudahkan buat anak kak Amyza,” tulis Darling Ngasri.

“Allahuakbar. Semoga yang baik-baik dan diberikan kesembuhan. Amin,” ujar Kodi Rashid.

Dalam temubual media, Amyza berkata, dia sekeluarga tidak mengesyaki sakit dialami anaknya itu serius kerana Andre Mikhail aktif bersukan.

“Sebenarnya dia dah sebulan lebih mengadu sakit bahu. Jadi, kita ingatkan dia sakit bahu itu sebab ‘muscle’ (otot) saja kerana dia seorang yang aktif sukan. Main golf dan snooker.

“Dia pun dah ke klinik beberapa kali untuk ambil ubat tahan sakit dan buat pemeriksaan lain yang semua keputusannya okay. Tapi, sakit itu masih berlarutan sampai dia demam dan batuk yang lama,” katanya.

Menurut Amyza, anaknya itu turut mengalami sesak nafas apabila berjalan dan kerana simptom dialami menyebabkan Andre Mikhail dikejarkan ke hospital hingga doktor memaklumkan dipercayai ada bendalir dalam paru-parunya.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top