“Bila Orang Tegur & Masih Kenal, Saya Segan..” – Malek Noor Selesa Hidup ‘Low Profile’

“Bila Orang Tegur & Masih Kenal, Saya Segan..” – Malek Noor Selesa Hidup ‘Low Profile’

Selepas hampir empat dekad berkecimpung dalam bidang seni, pelakon dan legenda bina badan Datuk Malek Noor memilih untuk menjalani kehidupan secara sederhana.

Walaupun sudah lama tidak aktif berlakon, Malek tetap tersentuh apabila masih ramai mengenalinya menerusi filem-filem yang pernah dilakonkan.

“Saya pernah merasai kehidupan dalam dunia glamor, tetapi kini saya lebih selesa dengan gaya hidup sederhana dan melakukan perkara yang saya gemari, seperti menceburi bidang perniagaan atau memberi motivasi.

“Kadang-kadang, apabila ada yang masih mengenali dan menegur saya, perasaan segan itu tetap ada. Di luar kamera, sebenarnya saya seorang yang agak pemalu.

“Malah, apabila ada yang mengingatkan tentang penghargaan yang saya pernah terima sepanjang penglibatan dalam sukan bina badan, saya turut rasa segan,” katanya.

Dalam pada itu, Malek menyatakan kesediaannya untuk kembali ke dunia lakonan sekiranya diberikan watak yang sesuai dengan usianya kini.

“Banyak kenalan menghubungi saya selepas melihat sedutan lakonan saya di media sosial. Saya sangat menghargai dan berterima kasih kerana masih ada yang mengenali serta menghormati karya saya.

“Berkenaan tawaran lakonan, Insya-Allah saya terbuka, asalkan watak yang diberikan sesuai dengan usia saya sekarang,” katanya.

Malek ditemui ketika menghadiri Majlis Cahaya Ramadan @KL Steamboat & Grill 2025 yang berlangsung di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Mengenai pelantikannya sebagai duta restoran tersebut, Malek berasa teruja kerana dapat membantu perniagaan yang dikendalikan oleh empat usahawan muda, iaitu Mohd Zulkifli Mohd Talib, Mohd Farid Jamaluddin, Mohd Samsul Mior Atan Ahmad dan Mohd Halmie Mior Atan Ahmad.

Malek turut berkongsi bahawa dia sering mengunjungi restoran itu untuk menikmati hidangan yang disajikan.

“Saya mahu membantu anak-anak muda membina perniagaan. Hampir setiap minggu saya datang dan merasai steamboat dan gril di sini,” katanya.

Selain konsep steamboat dan grill, @KL Steamboat & Grill 2025 turut menampilkan hiburan secara langsung dengan persembahan busking setiap hujung minggu.

Restoran ini juga menawarkan pelbagai menu menarik termasuk seafood segar dengan harga berpatutan serta promosi khas sepanjang Ramadan tahun ini.

Berlokasi di Jalan Mengkudu, Kuala Lumpur, @KL Steamboat & Grill dibuka setiap hari dari jam 5.00 petang hingga 12.00 tengah malam.

Scroll to Top