Julia Farhana bersyukur suami tahu batas, tidak cari masalah

Julia Farhana bersyukur suami tahu batas, tidak cari masalah

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Julia Farhana Marin, 31, tidak bimbang dengan kesetiaan suaminya, Dr Che Hafiz Che Ibrahim walaupun ada wanita secara terang-terangan cuba menggoda.

Julia berkata, dia mengenali dengan baik sikap dan keperibadian suaminya yang sama sekali tidak tertarik, malah tidak pun melayan wanita terbabit ketika cuba berbual mesra.

“Saya pernah berada dalam situasi di mana ada seorang wanita datang kepada suami saya dan terus berbual dengannya serta langsung tidak mengendahkan saya yang berada di situ.

“Kami tidak selesa dengan situasi itu. Namun, saya bersyukur sebab suami sentiasa menjaga batas percakapan dengan wanita lain dan dia (Che Hafiz) juga tidak pernah mencari masalah.

“Alhamdulillah, saya akui memang tidak pernah risau kerana suami sama sekali tak bercakap banyak dengan wanita itu,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Julia, sikap hormat-menghormati sesama wanita penting, apatah lagi sekiranya isteri lelaki itu ada di samping suaminya dan tidak perlu cuba mengganggu.

Terdahulu, Julia bertemu jodoh dengan Che Hafiz yang juga sebelum itu berstatus duda kepada seorang anak perempuan pada 14 Disember 2022.

Sudah lebih dua tahun berumah tangga, pasangan ini bagaimanapun masih belum dikurniakan cahaya mata kerana mereka merancang.

Ia berikutan Julia mahu menyelesaikan pengajiannya dalam bidang psikologi sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) terlebih dulu sebelum memiliki anak.

Pelakon filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang itu memaklumkan dia kini menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Psikologi dan kemudian bercadang mengambil Sarjana (Master) sehingga PhD.

Difahamkan juga Julia perlu menghabiskan pengajiannya selama empat tahun di Universiti Terbuka Malaysia (Open University) sebelum bersedia menimang cahaya mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top