kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: SME Corp Malaysia (SME Corp), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), mengunjurkan transaksi jualan sebanyak RM300 juta sempena pameran SME Venture@Asean 2025 yang julung kali diadakan membabitkan usahawan tempatan dan Asean.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Datuk Nainy berkata, SME Venture@Asean 2025 bakal menjadi salah satu acara utama bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bersempena dengan Kepengerusian Asean oleh Malaysia pada tahun ini.
Katanya, terdapat kira-kira 350 tapak pameran akan disediakan untuk mengetengahkan produk PKS tempatan dan antarabangsa sepanjang acara itu berlangsung pada 16 hingga 18 Oktober 2025.
“Selain menjadi platform untuk PKS tempatan mempamerkan keupayaan mereka, acara ini menawarkan sesi padanan perniagaan kepada PKS dan syarikat utama dari Asean sekaligus membuka peluang untuk mendapatkan perjanjian eksport.
“Kami menyasarkan transaksi jualan sebanyak RM300 juta memandangkan acara kali ini membabitkan 300 pempamer tempatan dan antarabangsa, sebahagian besarnya dari negara anggota Asean dan rakan perdagangan,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran SME Venture@Asean 2025 di sini, kelmarin.
Hadir merasmikan, Menteri Kuskop, Datuk Ewon Benedick.
SME Venture@Asean 2025 bertemakan, Bringing Asean Closer to You yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) itu dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung dan sepanjang acara tiga hari itu pempamer berpeluang untuk menonjolkan produk dan perkhidmatan inovatif yang menyasarkan kedua-dua segmen iaitu niaga ke niaga (B2B) dan niaga ke pengguna (B2C).
Pameran B2B bertujuan menyerlahkan keupayaan PKS yang mempunyai kapasiti eksport daripada sektor berimpak tinggi seperti elektrik dan elektronik, minyak dan gas, bioteknologi, peranti perubatan, aeroangkasa, pelancongan, pertanian pintar, serta industri halal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




