Kuala Lumpur: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengesyorkan individu yang masih aktif dalam politik tidak lagi dilantik sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Tabung Haji (TH) bagi memastikan institusi itu bebas daripada persepsi campur tangan politik.
Dalam laporannya, RCI berkata, semakan mendapati beberapa Ahli Lembaga TH dalam tempoh siasatan antara 2014 hingga 2020 terdiri daripada ahli politik yang masih aktif.
“Antaranya ialah Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah pada 2011 sebelum menjadi Pengerusi TH dari 2013 hingga 2018. Beliau ketika itu juga Ahli Parlimen Baling dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
“Turut menganggotai Lembaga ialah Tan Sri Badruddin Amiruldin yang berkhidmat dari 2005 hingga 2018. Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Yan/Jerai dari 2004 hingga 2008 selain memegang jawatan Pengerusi Tetap Perhimpunan Agung UMNO.
“Datuk Rosni Sohar pula dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah dari 2014 hingga 2018 ketika masih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Bernam serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Setiausaha Wanita UMNO Malaysia sejak 2013,” menurut laporan itu.
RCI berkata, pembabitan ahli politik dalam pengurusan TH menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat.
“Pertembungan ideologi politik yang semakin rancak sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan menjadikan keputusan-keputusan Lembaga sebagai bahan kritikan sehingga menjejaskan kredibiliti TH,” menurut laporan itu.
Sehubungan itu, RCI berpandangan Pengerusi dan Ahli Lembaga TH tidak wajar dilantik daripada kalangan ahli politik yang masih aktif.
“Sekiranya seseorang yang dilantik sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga didapati terbabit secara aktif dalam politik, beliau hendaklah meletakkan jawatan atau digugurkan daripada jawatan sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga,” menurut laporan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




