puterialia@hmetro.com.my
Gabungan mantap dua bakat hebat dari Indonesia, Fabio Asher dan Nadhif Basalamah di Mega Star Arena, Bukit Bintang, baru-baru ini berjaya menterjemahkan konsep ‘satu perasaan, dua kisah’ di hadapan ribuan penonton menerusi Konsert Rumah Hati.
Mengimbangi kehangatan akustik mendayu Nadhif dan tenaga pop-balada dramatik Fabio, konsert ini tampil dinamik dan memberi ketenangan jiwa yang mendalam buat mereka yang hadir.
Seawal jam 7 malam, ruangan dewan mula dibanjiri kira-kira 5,000 peminat yang mengenakan pakaian bertema merah dan putih sebagai simbolik hati.
Tepat jam 8.55 malam, pentas dibuka dengan persembahan medley Fabio menerusi lagu Tanpa Rasa Bersalah bersama Nadhif yang membawakan lagu Bergema Sampai Selamanya.
Meskipun sistem bunyi mengalami sedikit gangguan teknikal pada awal persembahan, bagamanapun ia langsung tidak meragut kehangatan malam itu.
“Malam ini kita baru mula ya teman-teman, kita menyanyi semua sekali. Karna bersama kalian terasa indah bersama malam ini,” kata Nadhif sebelum menyanyikan lagu popular dalam kalangan peminat iaitu Penjaga Hati.
Persembahan diteruskan lagi pada jam 9.24 malam apabila Fabio tampil memukau menerusi lagu Mahir Memberi Luka.
“Apa khabar Kuala Lumpur?” laung Fabio kepada peminat.
Antara momen yang mencuri tumpuan apabila kedua-dua penyanyi ini membacakan dua surat yang ditulis istimewa daripada penonton.
“Kepada Nadhif, lagu-lagumu buat aku masih menaruh harapan untuk rasa disayang dan dicintai,” kata Fabio.
Sambil tersenyum, Nadhif membalas rasa terujanya terhadap surat berkenaan.
“Surat-surat tulisan seperti ini sesuatu yang terlalu manis untuk dikekalkan begitu sahaja,” kata Nadhif sebelum membacakan surat buat Fabio pula.
“Teruntuk Fabio, awak telah memulihkan begitu banyak versi diri saya dan saya sangat bersyukur atas kehadiran awak. Jadi, banyak seleksinya sembuh kerana Fabio Asher ya teman-teman,” kata Nadhif.
Dalam pada itu, Nadhif turut meluahkan rasa teruja dan penghargaan atas kehadiran penonton yang begitu ramai dan bertenaga di konsert berkenaan.
“Terima kasih kerana datang menemui saya malam ini. Saya tidak pasti sudah berapa kali saya berkunjung ke Kuala Lumpur, tetapi kali ini sambutan orang ramai begitu meriah. Selamat datang ke Konsert Rumah Hati, semua.
“Tepuk tangan kepada semua yang sudah hadir. Kita buat suara kalian bergema sampai Kinabalu,” katanya bersemangat.
Bukan itu sahaja, Nadhif turut memberi kejutan buat penonton apabila menyanyikan sebuah lagu yang belum pernah dilancarkan di mana-mana platform digital berjudul Seperti Semua.
Sementara itu, Fabio yang tampil jujur mengenai tahap kesihatan vokalnya yang tidak begitu baik pada malam itu tetap memberikan persembahan yang memukau penonton.
“Maaf kalau suara saya kedengaran kurang sihat, tetapi saya berjanji akan memberikan yang terbaik buat kalian. Saya membaca semua pesanan yang dihantar di media sosial.
“Segala permintaan lagu saya baca dan sebab itu malam ini saya membawakan beberapa lagu yang jarang dipersembahkan.
“Tetapi, kalau ada yang mahu menangis malam ini, silakan untuk menangis. Saya sudi membantu kalian melepaskan emosi melalui lagu-lagu saya. Saya sayangkan anda semua,” luahnya.
Fabio turut mengimbau kembali kenangan pertama kali menjejakkan kaki di pentas konsert Kuala Lumpur menerusi lagu hitsnya berjudul Bertahan Terluka.
Sebelum membawakan lagu yang cukup ikonik yang berjudul Rumah Singgah, Fabio sempat menyampaikan ucapan penghargaan khas buat mereka yang terluka.
“Lagu ini juga merupakan lagu yang membawa saya ke Kuala Lumpur. Lagu ini saya tujukan buat mereka yang pernah jadi persinggahan sebelum ini dan pernah jadi penghibur di saat dia susah. Terimalah Rumah Singgah,” kata Fabio yang disambut dengan sorakan peminat.
Selepas penonton dihidang dengan kehebatan vokal Fabio, Nadhif hadir bagai penawar yang menyembuhkan menerusi luncuran suara cukup menenangkan.
Dalam konsert yang berlangsung selama tiga jam itu, sebanyak 27 lagu dipersembahkan oleh Fabio dan Nadhif.
Antara seleksi popular Fabio yang menjadi siulan penonton termasuk Rumah Singgah, Berharap Kau Kembali, Hati Lain Di Hatimu, Tanpa Rasa Bersalah serta lagu baharu Fabio yang berjudul Nikmati Sakitnya.
Sementara itu, Nadhif pula memukau penonton menerusi lagu fenomena Penjaga Hati, Semusim, Bergema Sampai Selamanya, Jatuh Cinta Lagi dan Kota Ini Tak Sama Tanpamu.
Konsert Rumah Hati ini melabuhkan tirainya menerusi persembahan medley Fabio dan Nadhif iaitu lagu Kota Ini Tak Sama Tanpamu bersama gimik percikan kertas berwarna merah ke arah penonton, sebelum diakhiri dengan persembahan lagu Akhir Yang Manis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




