Warga emas maut disondol lembu kesayangan

Warga emas maut disondol lembu kesayangan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Hasrat warga emas untuk membuat ibadah korban lembu peliharaan tidak kesampaian apabila dia maut disondol haiwan itu dalam kejadian di Kampung Bunut Satut, Kadok, di sini, 19 Februari lalu.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa, Mohd Amin Sulaiman, 75, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian peha selepas ditanduk lembu baka jenis Charolais.

Adik arwah, Mustafa Sulaiman, 66, berkata, ketika kejadian dia sedang solat Asar sebelum menemui abangnya terbaring berlumuran darah kira-kira 20 meter dari rumah mereka.

Katanya, dia kemudian memanggil sepupu mereka, Muhamad Zainun Mat Yusof, 62, yang kebetulan baru sampai di rumah.

“Arwah beritahu dia disondol lembu pada bahagian kaki.

“Kami berdua sempat ajar arwah abang mengucap dua kalimah syahadah sebelum abang menghembuskan nafas kira-kira 20 minit kemudian,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan, hari ini.

Mustafa berkata, lembu itu menjadi kesayangan arwah kerana dipelihara sejak tiga tahun lalu.

Katanya, setiap hari arwah akan memberi lembu kesayangan makan namun tidak pernah berdepan ancaman daripada haiwan itu.

Sementara itu, Muhamad Zainun berkata, arwah pernah menyatakan hasrat membeli lembu untuk dipelihara dan dibuat korban bagi mencari pendapatan menampung kehidupan dua beradik itu.

Katanya, mereka berdua hanya bekerja kampung yang ringan kerana faktor usia selain bergantung kepada bantuan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta ihsan saudara mara dan penduduk kampung.

“Arwah berhajat raya haji tahun ini dia nak jual lembu itu untuk buat korban tapi tidak kesampaian,” katanya yang memaklumkan lembu berkenaan sudah dijual dua hari selepas kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top