am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) kategori asnaf miskin tegar di negeri ini mencatatkan penurunan sebanyak 275 orang atau 17.36 peratus tahun ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, jumlah keseluruhan KIR miskin tegar tahun lalu adalah seramai 1,584 tetapi berkurangan kepada 1,309 tahun ini.
Bagaimanapun katanya, jumlah asnaf KIR miskin mencatatkan peningkatan seramai 3,207 atau 13.19 peratus tahun ini.
“Jumlah keseluruhan KIR miskin pada tahun lalu adalah seramai 24,313, tetapi meningkat kepada 27,520 tahun ini.
“Maidam membelanjakan sebanyak RM499,700 bagi membantu meringankan beban asnaf KIR miskin tegar tahun ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, kira-kira RM15 juta dibelanjakan untuk membantu meringankan beban 27,520 asnaf miskin tahun ini.
Mengulas bantuan zakat sempena Ramadan, Shaikh Harun berkata, sebanyak RM15.49 juta diperuntukkan bagi membantu meringankan golongan asnaf fakir dan miskin tahun ini.
Dalam perkembangan lain, Shaikh Harun berkata, jumlah keseluruhan kutipan zakat tahun lalu adalah sebanyak RM276 juta.
Katanya, jumlah kutipan zakat tertinggi adalah zakat pendapatan sebanyak RM145.2 juta, zakat perniagaan (RM64.1 juta), zakat wang simpanan (RM40.1 juta), zakat fitrah (RM12 juta), zakat harta (RM10.8 juta), zakat emas dan perak (RM2.2 juta), zakat tanaman (RM390,000), zakat ternakan (RM146,678) dan zakat galian sebanyak RM6,378.
“Jumlah agihan hasil kutipan zakat kepada lapan asnaf tahun lalu ialah sebanyak RM318.7 juta.
“Kita menggunakan sumber kewangan lain termasuk hasil sewaan bangunan milik Maidam untuk menampung peningkatan jumlah agihan zakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
