“Cukuplah Sederhana, Asal Sejiwa” – Erra Fazira Impikan Pengakhiran Rumah Tangga Yang Tenang

“Cukuplah Sederhana, Asal Sejiwa” – Erra Fazira Impikan Pengakhiran Rumah Tangga Yang Tenang

Primadona Malaysia, Erra Fazira secara terbuka mendedahkan kriteria jejaka idamannya yang ‘sekufu’ terutamanya dari segi sasaran pengakhiran hidup ke arah kebaikan.

Pernah dua kali gagal dalam perkahwinan terdahulu, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, tidak lagi meletakkan penanda aras bagi jejaka tersebut adalah seorang yang mendamaikan.

“Biarlah sasaran hidup kita sama iaitu mahukan landing period (pengakhiran). Bukannya mencari pasangan yang masih mengejar dunia sangat. 

“Kalau boleh kita nak ‘landing’ yang sama, saya pun masih belajar. Saya tidak mengharapkan pasangan yang ada ilmu hebat. 

“Kalau dia (pasangan) pun sama macam saya nak belajar landing, mari kita buat sama-sama. Penanda aras untuk lelaki itu cukup sekadar sederhana tetapi mendamaikan,” katanya dalam sesi temu bual podcast Ruang Cerita Zayan yang dimuat naik di YouTube.

Sementara itu, Pelantun lagu Pasrah ini turut berharap sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh sekali lagi, ia akan menjadi perkahwinan terakhirnya yang penuh kebahagiaan.

“Siapa sahaja melangkah kaki ke alam rumah tangga, pasti ada impian mahukan inilah (perkahwinan) yang terakhir, terbahagia dan segalanya indah. Begitu juga dengan saya. 

“Andai saya melangkah sekali lagi ke gerbang perkahwinan, jumpa pasangan yang tepat… Biarlah ini yang terindah dan membawa hingga ke akhir hayat. Itu impian saya. 

“Tidak ada orang yang berumah tangga hanya meletakkan sasaran untuk hidup bersama dalam dua tiga tahun. Apa pun macam saya cakap, saya selalu percaya pada aturan Allah,” ujarnya. 

Untuk rekod, bintang filem Sembilu ini pernah berkahwin dengan usahawan Engku Emran pada 25 Oktober 2007 sebelum berpisah pada 18 Februari 2014. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, kini berusia 16 tahun.

Sebelum itu, Erra juga pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003, namun perkahwinan mereka berakhir pada 2006 tanpa dikurniakan cahaya mata.

Ketika ini, Erra dikatakan menjalin hubungan rapat dengan seorang usahawan, Ezwan Zain. Spekulasi mengenai hubungan mereka semakin hangat diperkatakan selepas Ezwan secara terbuka meluahkan perasaan cintanya kepada Erra.

Artikel Berkaitan: Erra Fazira Sambut Birthday Dengan Mr. E, Healing Bersama Tepi Sungai – “Aku Tetap Cinta Padamu Yang Mempersonakan”

Scroll to Top