hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan latihan keselamatan berskala besar, Ex Rimau 25, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, sebagai persediaan menghadapi sebarang ancaman ketika Malaysia mempengerusikan Asean tahun ini.
Latihan simulasi itu membabitkan pelbagai elemen keselamatan PDRM di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, antaranya Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Tempur Ringan (LSF), Unit Pemusnah Bom, Unit Anjing Pengesan (K9), Pasukan 69 Komando (VAT 69), Counter Terrorism Cawangan Khas, serta jururunding PDRM.
Antara situasi yang diuji dalam latihan termasuk kawalan rusuhan oleh kumpulan demonstrasi serta penemuan kotak disyaki mengandungi bahan letupan, bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan keselamatan menghadapi ancaman sebenar.
Ketika simulasi berlangsung, latihan menggambarkan suasana persidangan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang kecoh apabila sekumpulan peserta demonstrasi berkumpul bagi mengadakan bantahan selain penemuan kotak disyaki berisi bahan letupan.
Kira-kira 30 penunjuk perasaan berkumpul di pekarangan KLCC bermula 2.30 petang dan pasukan LSF dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi antara yang terawal diturunkan bagi mengawal situasi, namun mereka tetap berdegil.
Bagaimanapun, keadaan itu dapat dileraikan dengan kehadiran kira-kira 50 anggota FRU bagi mengawal situasi berkenaan.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA Bukit Aman, Deputi Komisioner MV Srikumar M Nair berkata, seramai 150 anggota daripada pelbagai elemen PDRM terbabit dalam latihan terbabit.
Katanya, latihan ini digerak atur ketika hari persidangan (Kepengerusian Asean) bagi ketua polis daerah dan pegawai medan membuat sebarang keputusan serta bagaimana untuk bertindak, termasuk mengeluarkan orang kenamaan (VIP) di lokasi.
“Daripada latihan ini, kita akan cuba menambah baik kelemahan-kelemahan yang dikesan, jadi hasilnya ketika persidangan (Kepengerusian Asean) nanti, Malaysia mempunyai mekanisme selamat dan berkesan. Itu matlamat kita.
“Antara demonstrasi yang dilakukan hari ini adalah kehadiran penunjuk perasaan dan penemuan bahan letupan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Menurutnya, satu lagi latihan akan dilakukan pada masa akan datang dengan pembabitan agensi di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Malaysia secara rasmi mengambil peranan sebagai Pengerusi Asean bermula 1 Januari tahun ini dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk Asean yang bersatu dan makmur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




