Lelaki mengaku salah cabul kanak-kanak

Lelaki mengaku salah cabul kanak-kanak

surayaroslan@mediaprima.com.my

Ampang: Lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran yang tular mencabul kanak-kanak di dalam masjid di Batang Kali, Hulu Selangor, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Pengakuan itu dibuat oleh tertuduh, Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 27 Mac ini untuk jatuh hukum kerana menunggu laporan sosial lelaki itu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengikut pertuduhan, Muhamad Adam Haiqal didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun lapan bulan di Masjid Sungai Masin, Kampung Sungai Masin, Batang Kali pada 6.20 pagi, 21 Februari lalu.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen 14 akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi menunggu laporan sosial daripada JKM memandangkan tertuduh adalah pesalah muda yang berusia antara 18 sehingga 21 tahun.

“Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 ke atas tertuduh selain mencadangkan dia melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan serta tidak mengacau ganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

“Tempat kejadian juga berdekatan dengan kawasan perumahan di mana mangsa tinggal,” katanya.

Sebelum menetapkan tarikh sebutan, Norshila menyoal tertuduh sama ada ahli keluarganya hadir ke mahkamah pada hari ini bagi membayar jaminan, bagaimanapun tertuduh menjawab tiada.

Susulan itu, Norshila tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan polis menerima laporan pada 8.19 pagi berhubung kejadian itu yang turut tular dalam media sosial, sebelum suspek ditahan pada hari sama di sekitar Batang Kali.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa sedang menunaikan solat di saf belakang ruang solat wanita di masjid terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top