nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas lebih 3.2 juta batang rokok seludup yang membabitkan nilai keseluruhan termasuk cukai sebanyak RM2.9 juta di Kampung Peringat, pada 19 Februari lalu.
Rampasan jam 11.30 malam di sebuah rumah itu dilakukan pasukan operasi Cawangan
Penguatkuasaan Kota Bharu turut merampas sebuah kenderaan mewah Toyota Vellfire.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata hasil serbuan berkenaan pihaknya menemui lebih 3.1 juta batang atau 320 peti rokok yang disimpan dalam rumah berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut turut menemui 30,000 batang rokok yang disembunyikan dalam kenderaan Toyota Vellfire.
“Jumlah keseluruhan rokok yang dirampas adalah lebih 3.2 juta batang rokok membabitkan nilai RM2.9 juta termasuk cukai dan nilai kenderaan yang dirampas,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan menjadikan rumah sewa sebagai lokasi penyimpanan rokok seludup.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi Jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




