Tarawih terakhir 2 sahabat baik

Tarawih terakhir 2 sahabat baik

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Tarawih keenam malam tadi menjadi yang terakhir kepada dua sahabat baik yang maut selepas Perodua Myvi dinaiki hilang kawalan dan terbabas melanggar penghadang jalan raya di Tanjung Bendahara, di sini.

Dalam kejadian di Tanjung Bendahara itu, tiga lagi cedera selepas Perodua Myvi dinaiki hilang kawalan dan terbabas melanggar penghadang jalan.

Semua remaja terbabit adalah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berusia 18 tahun.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Dhani Arumi Mohd Azlan dan Muhammad Danish Iqbal Mohd Niza, kedua-duanya bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Syed Omar (SMKDSO), dekat sini.

Tiga rakan mereka yang parah masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dinaiki lima remaja lelaki terbabit.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan yang sebelum itu dipandu dari arah Jalan Alor Mengkudu itu hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan lalu merempuh tiang elektrik, pokok kelapa dan hentian bas di lokasi.

“Akibat perlanggaran itu, semua penumpang termasuk pemandu tersepit dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan bomba.

“Pegawai perubatan yang turut tiba ke lokasi kejadian mengesahkan dua daripada mangsa terbabit, iaitu penumpang hadapan sebelah kiri dan penumpang belakang sebelah kiri disahkan maut di lokasi, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siti Nor Salawati berkata, mayat dua mangsa yang maut dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut manakala tiga lagi mangsa yang parah menerima rawatan di Zon Merah hospital berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Walau bagaimanapun, polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.

“Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai terutamanya saksi kejadian ini untuk tampil memberi keterangan di Balai Polis Trafik Kota Setar atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Ifzam Mohd Zaini di talian 04-7321222 atau 012-4043373 bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top