Bekas artis jadi 'umpan' sindiket pig butchering

Bekas artis jadi 'umpan' sindiket pig butchering

Semarang, Indonesia: Seorang bekas artis wanita dikenali sebagai, F, antara 39 individu yang ditahan polis, baru-baru ini, kerana disyaki terbabit sindiket penipuan dalam talian antarabangsa yang modus operandinya adalah pig butchering di Solo Raya, Kota Surakarta, Jawa Tengah, lapor Kompas.

Pig butchering seakan- akan ‘love scam’ yang mana mangsa akan diperdaya untuk hubungan dalam talian sebelum bersetuju memindahkan wang untuk tujuan pelaburan.

Pengarah Jabatan Siasatan Siber Polis Jawa Tengah (Ditressiber), Komisioner Besar Polis Himawan Sutanto Saragih berkata, wanita itu bertugas sebagai model yang membuat panggilan video mengikut permintaan mangsa.

Beliau berkata, siasatan bermula daripada aktiviti rondaan siber yang dijalankan Ditressiber sebelum membawa kepada beberapa lokasi di wilayah Sukoharjo dan Kota Surakarta.

Hasil siasatan lanjut menemukan tujuh lokasi membabitkan sebuah pejabat syarikat dan enam penginapan sementara yang dipercayai digunakan dalam operasi sindiket berkenaan.

Menurutnya, PT Digi Global Konsultan di Solo Baru, Sukoharjo disyaki digunakan sebagai tempat pengambilan pekerja dan pusat operasi utama.

“Sindiket itu menggunakan modus ‘pig butchering’ dengan membina hubungan emosi secara intensif dengan mangsa melalui aplikasi janji temu dalam talian dan media sosial sebelum mengalihkan komunikasi ke aplikasi mesej peribadi.

“Pelaku turut menggunakan identiti palsu serta menyediakan foto dan video wanita bagi meyakinkan mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, F digaji khusus untuk menyediakan gambar yang meyakinkan dan melakukan panggilan video secara langsung supaya mangsa lebih percaya serta bersedia melaburkan dana ke dalam platform pelaburan yang dikawal pelaku.

Daripada 39 suspek yang ditahan, 33 individu bertindak sebagai pemasaran termasuk 11 warga asing dan 22 warga Indonesia yang bertugas memancing mangsa menggunakan identiti palsu.

Selepas mangsa terpedaya, mereka diarahkan melabur ke laman web dagangan kripto yang sudah dimanipulasi sehingga semua dana mangsa masuk ke rangkaian pelaku.

Berdasarkan data transaksi yang ditemukan penyiasat, rangkaian antarabangsa itu beroperasi dari Julai 2025 hingga Mei 2026 dan didapati berpindah-randah menggunakan empat pejabat berbeza sebelum diserbu di Solo Raya.

Sepanjang tempoh operasi, sindiket itu meraih keuntungan sebanyak sekitar 41.1 bilion rupiah (kira-kira RM10.8 juta) daripada sekurang-kurangnya 133 mangsa dengan sasaran khusus terhadap warga Amerika Syarikat (AS).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top