am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar sekolah menerusi penganjuran Bengkel Buku Akhbar dan Majalah (Akhma).
Program disertai 200 pelajar dan guru dari seluruh negara itu berlangsung sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) menggunakan bahan bacaan sedia ada di sekolah.
Penolong Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Azatus Sakhia Shakir Mashkor berkata, bengkel berkenaan bertujuan memastikan surat khabar yang dibekalkan ke pusat sumber sekolah di seluruh negara dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kita mahu murid-murid menghargai maklumat dalam akhbar dan majalah.
“Melalui surat khabar dan majalah, mereka bukan sahaja belajar mencari maklumat, malah dapat mengaplikasikan teknik pembacaan dengan lebih berkesan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, penganjuran program ini sudah memasuki tahun kedua dan pengisian utama dalam program ini adalah untuk menggalakkan membaca dikalangan pelajar sekolah bagi menyokong aspirasi pendidikan.
Beliau berkata, KPM merancang untuk meneruskan program ini di masa akan datang memandangkan sambutan yang diterima dari sekolah-sekolah dari seluruh negara amat menggalakkan.
Seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor, Nurain Afrina Khairil, 17 berkata, bengkel itu amat menyeronokkan kerana hobinya adalah membaca namun sebelum ini dia kurang membaca surat khabar.
“Melalui program ini, saya bukan sahaja dapat tahu mengenai perkembangan semasa hal ehwal negara, malah rasa teruja untuk menghasilkan karya sendiri.
“Selain itu, kumpulan kami memilih untuk menghasilkan buku skrap yang bertemakan isu jenayah di negara ini,” katanya.
Seorang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Sungai Lui Jempol, Negeri Sembilan, Nur Maryam Nailah Mohd Badrul Amin, 10, menzahirkan rasa teruja apabila dapat menghasilkan buku skrap yang bertajuk Daulat Tuanku.
“Saya sangat seronok dapat belajar tentang Akhma dan teknik koyak serta tampal di sini.
“Jika diberi peluang, saya memang berminat untuk menulis buku sendiri selepas ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




