AADK perkenal DAC, beroperasi April depan

AADK perkenal DAC, beroperasi April depan

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Pusat Tahan Reman (PTR) di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Pasir Mas akan dinaik taraf sebagai Pusat Saringan dan Penilaian Dadah (DAC) yang dijangka beroperasi pada April depan.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata proses transformasi itu sejajar dengan keperluan di Kelantan memandangkan menjadi negeri tertinggi mencatat bilangan penagih dadah iaitu seramai 1,130 penagih per 100,000 penduduk.

Katanya, penubuhan DAC di AADK Pasir Mas adalah yang keempat di seluruh negara selepas Kuala Muda di Kedah, Tampin di Melaka dan Ibu Pejabat AADK di Sungai Merab, Bangi, Selangor.

“DAC adalah satu transformasi penambahan fungsi terhadap PTR yang menyediakan perkhidmatan saringan dan penilaian dadah sekali gus dapat mengesan penyalahgunaan bahan terlarang terbabit secara lebih terperinci.

“Selain itu, penilaian juga akan memfokuskan kepada aspek perubatan dan psikososial yang mana setiap DAC akan ditempatkan pegawai perubatan serta pegawai pemulihan sejajar dengan objektif utama untuk merawat dan memulih penagih.

“Kita bukan sahaja akan membuat penilaian tahap ketagihan, malah turut mengesan jenis dadah serta berapa lama tempoh penagih mengambil dadah selain mengetahui apa kesanya kepada penagih,” katanya dalam sidang media selepas melawat AADK Pasir Mas, di sini, hari ini.

Ruslin turut berkongsi kedudukan tiga negeri yang mencatat bilangan penagih serta penyalahgunaan dadah tertinggi seluruh negara membabitkan Kelantan seramai 1,130 orang, diikuti Terengganu iaitu 974 orang dan Perlis, 965 orang.

Jelasnya, mengikut daerah, jajahan Pendang di Kedah mencatat jumlah tertinggi iaitu seramai 1,798 penagih, diikuti Kuala Krai dan Bachok di Kelantan, masing-masing seramai 1,442 dan 1,315 penagih.

“Sebenarnya, fasiliti DAC adalah lebih mesra, teraputik dan kondusif sesuai dengan keperluan untuk menjalani proses rawatan dan pemulihan berbanding hukuman menepati pematuhan kepada aspek hak asasi manusia.

“Semoga penubuhan DAC dapat membantu merawat serta mengurangkan jumlah penagih tegar sekali gus melahirkan masyarakat yang bebas daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ruslin berkata PTR di AADK Pasir Mas menerima 1,000 pelanggan di bawah perintah pengawasan yang mana akan mengikuti pelbagai program sekurang-kurangnya sekali sebulan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top