Costa Navarino: Kirsty Coventry mencipta sejarah apabila muncul wanita pertama dan individu pertama dari Afrika yang dipilih sebagai Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), menyifatkan pencapaian itu sebagai luar biasa.
Juara Olimpik dua kali dalam sukan renang dari Zimbabwe itu, yang kini berusia 41 tahun, juga adalah individu termuda yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran sukan dunia.
“Ini adalah isyarat jelas bahawa kita benar-benar sebuah organisasi global yang sudah berkembang dan terbuka kepada kepelbagaian,” kata Kirsty, yang juga wanita kedua pernah bertanding merebut jawatan ini.
Kirsty yang juga Menteri Sukan Zimbabwe, adalah sekutu rapat kepada Thomas Bach dari Jerman, yang akan berundur selepas 12 tahun menerajui IOC.
“Ia detik yang luar biasa. Saya tidak pernah menyangka bahawa suatu hari nanti saya akan berdiri di sini, berpeluang untuk memberi sumbangan kembali.
“Ini bukan sekadar satu penghormatan besar, tetapi juga satu peringatan bahawa saya akan memimpin organisasi ini dengan penuh rasa bangga, berpegang kepada nilai-nilai terasnya, dan saya akan memastikan anda semua berasa bangga serta yakin dengan keputusan yang dibuat hari ini,” katanya semasa berucap selepas kemenangannya.
Bach dipercayai menyokong Kirsty, namun selepas pengundian beliau enggan mengesahkannya secara terbuka.
“Beliau mendapat mandat yang sangat kukuh. Ini adalah isyarat perpaduan dalam pergerakan Olimpik dan Coventry boleh bergantung kepada sokongan penuh daripada keahlian IOC,” kata Bach, yang secara rasmi akan menyerahkan kuasa pada 24 Jun depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd