BPT didapati di pasaran di ibu kota tetapi terhad

BPT didapati di pasaran di ibu kota tetapi terhad

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beras putih tempatan (BPT) sudah boleh didapati di pasaran di ibu kota, namun jumlahnya amat terhad.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Pandai Dalam di sini, hari ini mendapati hanya sebuah pasar raya mempunyai bekalan BPT, manakala tiga kedai runcit berhampiran hanya menjual beras putih import (BPI).

Pekerja pasar raya yang hanya ingin dikenali sebagai Zaidah berkata, pihaknya baru sahaja menerima 50 kampit BPT 10 kilogram (kg) daripada pengilang, Rabu lalu.

Menurutnya, pihak majikan menetapkan supaya pembelian BPT dihadkan hanya dua kampit bagi setiap keluarga.

“Selain itu, hanya warga tempatan sahaja dibenarkan membeli BPT bersubsidi yang berharga RM26 bagi sekampit, manakala pelanggan warga asing tidak dibenarkan membeli BPT.

“Bagaimanapun, setakat hari ini pengguna kurang membeli BPT mungkin disebabkan beras yang tiba ini jenama baru dan bungkusannya yang jarang dilihat pengguna menyebabkan pelanggan tidak perasan.

“Oleh sebab itu, masih ramai pelanggan yang datang tetap membeli BPI meskipun harganya lebih mahal daripada BPT,” katanya.

Peniaga kuih, Abdul Wahab Abdul Rahim, 58, mengakui lega selepas bekalan beras tempatan sudah kembali di pasaran selepas hampir setahun isu ketiadaan BPT hangat diperkatakan.

“Lega sebab setahun terpaksa beli beras import yang mahal. Sekampit BPI 5kg pun sudah RM21.90.

“Sudah ada BPT ini sangat bagus kerana ia bersubsisidi dan hanya RM26 bagi kampit 10kg, sekurang-kurangnya dapatlah mengurangkan beban kewangan keluarga lebih-lebih lagi untuk mereka yang mempunyai ramai anak,” kata bapa empat anak itu.

Sementara itu, pesara swasta, Mad Saleh Zakaria, 67, berkata, sudah setahun dia tidak menjumpai beras putih tempatan dan rasa terbeban kerana masih mempunyai tanggungan.

“Saya sudah bersara, tapi ada dua anak bujang bersama, jadi terpaksa beli beras import yang berharga lebih RM35 untuk 10kg yang boleh bertahan hanya untuk dua minggu.

“Dari segi kewangan, saya rasa terbeban. Sekarang, kedai runcit depan rumah saya, masih tiada lagi stok beras putih tempatan,”katanya.

Tambahnya, meskipun kerajaan sebelum ini mengumumkan BPT sudah ada di pasaran terutamanya di Kedah dan Terengganu, namun bekalan makanan ruji itu masih terhad dan sukar diperoleh di Kuala Lumpur.

“Saya rasa kecewa sebab di negeri lain sudah ada stok BPT, tapi kenapa saya perlu beli BPI lagi.

“Saya mohon pihak kerajaan mempercepatkan kemasukkan beras tempatan untuk ke pasaran kerana dapat ringankan masalah kewangan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, suri rumah, Zuraidah Mahat, 56, berkata, dia sudah lama tidak membeli beras tempatan dan masih tertunggu kemasukkan beras itu ke dalam pasaran.

“Beberapa minggu lalu, sudah diwar-warkan tentang beras putih tempatan, tapi saya pun tertunggu kenapa masih tidak ada stok beras putih tempatan dalam pasaran.

“Suami saya dah bersara, jadi rasa sangat tidak berbaloi terpaksa beli beras import yang mahal,” katanya.

Bagi Zuraidah, dia bersimpati terhadap keluarga yang mempunyai ramai anak memandangkan sekampit beras hanya boleh bertahan untuk beberapa minggu sahaja.

“Seisi rumah saya hanya empat orang, jadi beras ini boleh bertahan untuk sebulan. Tapi, saya kasihan orang yang ada ramai anak sebab beras kita guna hari-hari.

“Saya harap kerajaan dapat percepatkan kembali beras putih tempatan bersubsidi ke pasaran untuk ringankan beban golongan B40,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top