Empat lelaki didakwa edar 28kg dadah

Empat lelaki didakwa edar 28kg dadah

am@hmetro.com.my

Teluk Intan: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mengedar lebih 28 kilogram (kg) dadah, minggu lalu.

Tertuduh, N Maghendran, 48, B Vasanthan, 45, P Sivaganesh, 43, dan N Devandaran, 33, memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan

Berdasarkan pertuduhan pertama, empat lelaki itu secara bersama didapati mengedar dadah berbahaya iaitu methamphetamine dianggarkan seberat 27,050 gram (g).

Berdasarkan pertuduhan kedua pula, mereka secara bersama didapati mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine dianggarkan seberat 1,800g.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan antara 12 Mac hingga 16 Mac 2025 di premis tidak bernombor bersebelahan lot 15040, Kampung Baru Sungai Dua, Ulu Bernam dalam daerah Bagan Datuk.

Ia menjadikan dadah yang didakwa diedar mereka seberat 28.85kg.

Kedua-dua pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dikenakan sebatan yang tidak kurang dari 15 sebatan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakrin Hamdan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Naidatul Athirah menetapkan 3 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula bagi menunggu laporan kimia.

Pada 16 Mac lalu, polis menyerbu makmal dadah yang berselindung di sebalik rumah kampung lama di kawasan estet tanaman sawit di Ulu Bernam, Bagan Datuk serta merampas dadah dianggarkan bernilai RM1.6 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top