Jambatan di Felda Air Tawar 1 runtuh akibat banjir

Jambatan di Felda Air Tawar 1 runtuh akibat banjir

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Jambatan yang menjadi penghubung laluan utama penduduk di Felda Air Tawar 1 di sini, runtuh ekoran hujan lebat dan banjir kilat yang melanda kampung itu hari ini.

Ketua Kampung Felda Air Tawar 1, Abdul Rashid A Samad berkata, kejadian disedari berlaku kira-kira 5 pagi, dengan arus deras banjir menyebabkan runtuhan.

Katanya, sebuah lori yang diletakkan berhampiran jambatan juga hampir jatuh ke dalam sungai akibat runtuhan.

“Jambatan ini agak penting bagi penduduk dan kita harap pihak berwajib dapat memberi bantuan segera, memandangkan tidak berapa hari lagi kita akan sambut Syawal.

“Saya bimbang mungkin berlaku kesesakan ketika itu dan gusar sekiranya runtuhan lebih teruk lagi berlaku,” katanya ketika ditemui di Felda Air Tawar 1 di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penawar, Fauziah Misri berkata, jalan itu digunakan oleh 90 peratus penduduk kampung untuk keluar membeli barang keperluan harian di deretan kedai berhampiran.

“Kita mohon pihak jabatan terlibat membantu saya dan penduduk membaiki jambatan ini sekurang kurangnya supaya boleh digunakan untuk jangka masa pendek.

“Laluan alternatif pula agak jauh dan lencongan kira-kira satu kilometer ke kawasan perumahan dan memakan masa,” katanya.

Dengan Syawal yang menjelang tiba, penduduk bimbang sekiranya berlaku kesesakan di kawasan berkenaan berikutan laluan keluar masuk terhad, katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top