Ramadan dan Syawal bukan sekadar musim perayaan, tetapi ia juga adalah masa untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memperkukuh semangat kemasyarakatan.
Dalam usaha mengajak masyarakat menghargai detik bermakna sepanjang musim perayaan ini, kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia, Media Prima Berhad melancarkan kempen Indahkan Memori.
Kempen ini dirangka sebagai inisiatif pemasaran holistik yang mengangkat nilai perpaduan, kesyukuran serta semangat ihsan sepanjang musim perayaan.
Dianjurkan oleh unit Pemasaran Kumpulan Media Prima dengan kerjasama TV3 dan Tonton, Indahkan Memori menyoroti keindahan Ramadan dan Syawal dengan meraikan detik-detik berharga yang mengeratkan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Menerusi kempen ini, Media Prima menekankan kepentingan pengalaman bersama dalam mencipta kenangan yang berkekalan serta memperkukuh jalinan ukhuwah.
Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali berkata, musim perayaan bukan sekadar mengenai perayaan itu sendiri, tetapi juga menghayati nilai kebersamaan.
Katanya, kempen Indahkan Memori ini mengajak masyarakat menghargai momen kecil yang membawa makna besar dalam kehidupan, daripada saat berbuka puasa bersama keluarga hingga merapatkan silaturahim di pagi Syawal.
“Setiap detik adalah benang yang menenun memori terindah dalam kehidupan kita.
“Kami menggalakkan rakyat Malaysia menghargai setiap saat ini dan menjadikannya lebih bermakna dengan semangat harmoni, kegembiraan serta nilai-nilai tradisi yang dekat di hati,” katanya.
Sebagai peneraju industri media di Malaysia, Media Prima menerapkan pendekatan menyeluruh dalam kempen ini dengan menggabungkan pelbagai jenama di bawah satu platform yang kukuh.
Inisiatif ini membabitkan pelbagai aktiviti menarik merentas platform Media Prima, termasuk program khas, kandungan digital menginspirasikan serta usaha tanggungjawab sosial yang menyemarakkan semangat Ramadan dan Syawal.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Media Prima merangkap Ketua Pegawai Operasi TV3 dan Tonton, Amir Rasyidi Johari berkata, kesepaduan semua platform memainkan peranan penting dalam menjayakan kempen Indahkan Memori.
Katanya, kolaborasi ini mencerminkan komitmen Media Prima dalam menyampaikan kandungan yang bermakna dan relevan kepada rakyat Malaysia, sekali gus memperkukuh jalinan dalam komuniti.
“Nantikan pelbagai program menarik dan aktiviti yang akan menyemarakkan kemeriahan Ramadan dan Syawal tahun ini dengan lebih istimewa,” katanya.
Menerusi kempen Indah Memori ini, Ramadan dan Syawal kali ini pastinya lebih bermakna, penuh keindahan dan mencipta kenangan indah yang akan terpahat dalam hati setiap insan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



