PGA gagalkan penyeludupan 20 tan beras putih dari Thailand

PGA gagalkan penyeludupan 20 tan beras putih dari Thailand

nfazlina@nstp.com.my

Tanah Merah: Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan kegiatan penyeludupan beras putih selepas merampas 20,240 kilogram (kg) (20 tan) beras yang dimuatkan dalam treler dipercayai diseludup dari Thailand di Kampung Jakar, Bukit Bunga, di sini, awal pagi tadi.

Rampasan membabitkan nilai keseluruhan RM451,000 itu dilakukan menerusi Op Taring Bravo jam 6 pagi tadi.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata rampasan dilakukan selepas pihaknya menahan sebuah treler dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 20,240 kg beras putih ditemui di dalam treler berkenaan dipercayai diseludup masuk melalui pangkalan haram.

“Pemandu, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun, turut ditahan untuk siasatan lanjut. Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM451,000 termasuk treler.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994. Suspek dan barang rampasan dibawa ke Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Negara (KSPBN) Kelantan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di sempadan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top