am@hmetro.com.my
Rantau Panjang: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas pokok bonsai dan anak pokok kemboja dengan nilai keseluruhan RM1.9 juta dalam dua serbuan di sini, pada Khamis.
Nilai itu membabitkan rampasan sembilan pokok bonsai bersaiz besar dan 2,500 anak pokok kemboja beserta dua lori yang membawa kesemua muatan terbabit.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata kes pertama membabitkan penahanan sebuah lori membawa muatan anak pokok kemboja di Kampung Padang Licin, di sini, jam 7 malam.
Katanya, lori itu dipandu lelaki berusia 29 tahun dalam keadaan mencurigakan selain hasil pemeriksaan mendapati anak pokok kemboja yang dibawa dipercayai mempunyai serangga perosak dan penyakit.
“Dalam kes kedua, anggota menahan pemandu lori berusia 33 tahun yang membawa pokok bonsai di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, di sini, jam 9.17 malam, hari sama.
“Kedua-dua pemandu gagal mengemukakan dokumen yang sah sebelum mereka ditahan bersama lori dan muatan dibawa untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Kelantan untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5.
Pada hari yang sama, beliau berkata, PGA9 turut berjaya menumpaskan kes penyeludupan 2,000 biji kelapa yang dimuatkan di dalam dua pikap bernilai RM165,000 di sekatan jalan raya (SJR) Chabang Empat Salam, di sini, jam 10.30 malam.
“Empat suspek lelaki berusia 27 hingga 39 tahun turut ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).
“Kesemua suspek ditahan dan barangan dirampas sebelum diserahkan kepada Unit Regulasi Pasaran FAMA Kelantan untuk tindakan selanjutnya.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (FAMA),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




