Wanita diselamatkan dari runtuhan selepas 30 jam terperangkap

Wanita diselamatkan dari runtuhan selepas 30 jam terperangkap

Mandalay, Myanmar: Pasukan penyelamat menarik keluar seorang wanita yang masih hidup dari serpihan runtuhan bangunan pangsapuri di Mandalay pada Sabtu, 30 jam selepas gempa bumi dahsyat melanda Myanmar.

Mereka yang berada di lokasi memberikan tepukan gemuruh ketika Phyu Lay Khaing, 30, ditarik keluar dari runtuhan Kondominium Sky Villa oleh penyelamat, secara berhati-hati dan menggunakan pengusung.

Suaminya, Ye Aung, yang menunggu berita dalam keadaan cemas, memeluk Lay Khaing ketika pengusung diletakkan.

“Pada mulanya, saya tidak sangka dia masih hidup,” kata Ye Aung kepada AFP sambil menunggu isterinya keluar dari runtuhan.

“Saya sangat gembira kerana saya mendengar berita baik,” kata peniaga itu, yang mempunyai dua anak lelaki bersama isterinya, William, 8, dan Ethan, 5.

Ketika ambulans mula bergerak ke hospital, Ye Aung melihat melalui tingkap sambil menggenggam tangan isterinya.

Seorang pegawai Palang Merah memberitahu AFP sebelum ini, lebih 90 orang mungkin terperangkap di bawah runtuhan blok pangsapuri itu.

Gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda barat laut Mandalay pada awal petang Jumaat, diikuti gempa susulan 6.7 magnitud beberapa minit kemudian.

Gegaran itu memusnahkan bangunan, jambatan dan jalan raya merentasi kawasan di Myanmar, dengan kemusnahan besar-besaran dilihat di Mandalay, bandar kedua terbesar di negara itu dan kediaman kepada lebih 1.7 juta orang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top