Tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa terus menjadi topik hangat di media sosial. Selain simpati terhadap mangsa, ramai yang tertanya-tanya punca kejadian yang mengejutkan ini.
Lebih mengejutkan, muncul pula dakwaan tentang pencerobohan tanah rizab PETRONAS yang dikatakan berkait dengan insiden tersebut.
Tangkap layar tular – “Masuk rizab PETRONAS dah”

Tangkap layar perbualan WhatsApp yang dikatakan berkaitan kejadian ini menjadi tular. Perbualan itu menunjukkan mesej antara dua individu yang mendakwa terdapat kerja-kerja mengorek di kawasan larangan sebelum letupan berlaku.
Masuk rizab PETRONAS dah. Kena report ni PETRONAS. Dia tercucuk paip tu meletup sampai rumah kau nanti.
Jika benar, ini menimbulkan persoalan besar mengenai tahap keselamatan dan pemantauan di kawasan tersebut.

Polis dan PETRONAS jalankan siasatan kes Putra Heights…
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan bahawa pihaknya akan menyiasat dakwaan berlakunya kerja korek di tanah rizab PETRONAS.
Kita terima semua maklumat termasuk dakwaan berlakunya kerja korek tanah di situ sehingga menyebabkan kebakaran. Kita akan siasat semua itu dan jika benar ada berlaku, kita nak tahu siapa yang melakukan kerja-kerja mengorek itu.- Katanya pada Selasa.
PETRONAS dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut akan menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.
Buat masa ini, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menunggu hasil siasatan rasmi.
#ApaKataOhmedia
Insiden ini membangkitkan persoalan besar mengenai keselamatan di kawasan tanah rizab dan tahap pemantauan terhadap kerja-kerja di lokasi sensitif. Jika benar ada pencerobohan, tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan tragedi berulang.
Semoga pihak berwajib dapat menyelesaikan siasatan dengan cepat dan memberi keadilan kepada mangsa yang terlibat.





