Tokyo: Ini adalah penampilan sulung yang pasti diimpikan oleh Yuki Tsunoda.
Tsunoda akan berlumba untuk Red Bull buat pertama kali di hadapan peminatnya sendiri di Grand Prix Jepun hujung minggu ini.
Namun, selain daripada rasa bangga, pasti akan ada juga perasaan ketidaktentuan dan tekanan yang dirasai pemandu berusia 24 tahun itu, selepas dia diberi peluang menggantikan Liam Lawson hanya selepas dua perlumbaan musim ini.
Lawson direhatkan selepas terbabit dalam kemalangan pada perlumbaan pembukaan musim di Australia dan kemudiannya menduduki tempat terakhir dalam kelayakan untuk perlumbaan pecut dan Grand Prix di China seminggu kemudian.
Sementara itu, Tsunoda melangkah naik dari pasukan F1 junior, Racing Bulls.
“Ia perasaan bercampur,” katanya.
Tsunoda menjelaskan banyak perkara untuk dia dipelajari dalam masa yang singkat.
Walaupun hanya berusia 24 tahun, dia sudah berpengalaman dalam F1, selepas berlumba sejak 2021 dengan AlphaTauri dan RB – kini Racing Bulls – musim lalu.
“Tetapi walaupun dengan tekanan dan cabaran ini, anda mungkin hanya akan melalui situasi seperti ini sekali atau dua kali dalam hidup, jadi secara keseluruhan saya sangat teruja,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




