kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia perlu segera berubah daripada konsep ‘Made in Malaysia’ (Buatan Malaysia) kepada ‘Made by Malaysia’ (Jenama Malaysia), dan memfokus kepada pengeluaran di negara Asean yang kosnya lebih rendah bagi menghadapi kesan tarif timbal balas yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Presiden Kebangsaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, perubahan ini penting bagi memastikan PKS tempatan kekal berdaya saing dalam landskap perdagangan global yang semakin mencabar.
“Tarif baharu AS ini dijangka memberi impak besar kepada eksport negara, terutamanya dalam sektor elektronik, sawit, getah dan tekstil yang menjadi penyumbang utama dalam perdagangan dua hala.
“Kenaikan kos akibat tarif bukan saja menjejaskan eksport ke AS tetapi turut memberi kesan kepada daya saing Malaysia di pasaran lain, ini termasuk kemungkinan kehilangan pelaburan dan peluang pekerjaan dalam kalangan PKS,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, tempoh ketidaktentuan dijangka berlaku apabila negara serantau dan ekonomi besar seperti China menyusun semula strategi masing-masing dalam menghadapi tarif ini.
Beliau berkata, PKS tempatan juga perlu bersedia menghadapi kemungkinan lambakan produk dari negara pengeluar besar yang terkesan dan ancaman ini lebih besar daripada tarif itu sendiri.
Samenta turut menyeru PKS supaya mempelbagaikan sumber bahan mentah dan pasaran untuk mengurangkan risiko rantaian bekalan.
“Amalan ini perlu dijadikan norma, tidak kira dalam apa jua situasi ekonomi dan dalam masa sama, Asean perlu segera bergerak ke arah menurunkan halangan bukan tarif (NTB) dan membentuk pasaran tunggal yang mampu menjadikan rantau ini lebih kuat sebagai blok eksport dan pasaran pengguna,” katanya.
Samenta turut menegaskan komitmen untuk terus menyokong PKS Malaysia dalam menghadapi cabaran ini dengan kerjasama kerajaan dan pihak berkepentingan, bagi memastikan kelangsungan serta daya saing PKS di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Ng berkata, pengenalan tarif oleh AS itu juga boleh menjejaskan eksport Malaysia dengan ketara, terutamanya dalam sektor elektronik, produk berasaskan sawit, getah dan juga tekstil serta pakaian yang menjadi penyumbang utama perdagangan Malaysia dengan AS.
“Tarif yang lebih tinggi akan menyebabkan peningkatan kos untuk pengimport dan pengeksport, mengurangkan daya saing kita bukan saja di pasaran AS, tetapi juga di pasaran lain dan mungkin menjejaskan peluang pekerjaan serta pelaburan dalam kalangan PKS.
“Bagaimanapun, Samenta percaya dengan strategi yang betul, PKS Malaysia boleh membuat penyesuaian, malah mendapat manfaat daripada perubahan landskap perdagangan global ini. Kami menyeru kerajaan dan PKS supaya mengambil tindakan untuk kurangkan risiko dan rebut peluang baharu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




