anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Risikan dan penyamaran dilakukan pegawai Seksyen Amalan, Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berjaya membongkar kegiatan haram seorang wanita yang bergiat aktif sebagai doktor gigi palsu.
Suspek wanita berusia 20-an itu dikesan menjalankan kegiatan itu sejak sekian lama di sebuah premis di Taman Puchong Prima, Puchong, Selangor.
Premis itu bagaimanapun diserbu pegawai Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diketuai Dr Muhamad Syafiq Muhamad Isa dibantu anggota polis baru-baru ini.
Tindakan diambil susulan maklumat terdapat individu menjalankan amalan pergigian tanpa berdaftar mengikut Akta Pergigian 2018 di lokasi itu.
Ketika serbuan dijalankan, suspek wanita warga tempatan terbabit didapati sedang menjalankan rawatan pergigian ke atas seorang pelanggan wanita di atas katil rawatan. Terdapat peralatan dan bahan pergigian yang dipercayai digunakan bagi menjalankan rawatan pergigian veneer di bilik berkenaan.
Ketika soal siasat dilakukan, suspek gagal mengemukakan Perakuan Pendaftaran dengan Majlis Pergigian Malaysia selain Perakuan Pengamalan Tahunan.
Penggeledahan dan pemeriksaan dilakukan pegawai KKM terhadap premis itu menjumpai bukti peralatan dan bahan pergigian digunakan untuk menjalankan amalan pergigian.
Semua barang berkaitan perkhidmatan haram itu dirampas sebelum satu laporan polis dibuat di Balai Polis Bukit Puchong.
Siasatan lanjut dilakukan dengan bantuan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Bahagian Amalan Perubatan mendapati premis milik wanita itu bukan klinik pergigian swasta berdaftar dengan KKM.
Pemeriksaan dilakukan dengan Suruhanjaya Syarikat mendapati syarikat milik suspek didaftarkan bagi perniagaan menawarkan tindik tubuh dan sambungan bulu mata (eyelash extension).
“Berdasarkan siasatan, suspek menggunakan peralatan pergigian dan bahan pergigian bagi mendorong orang ramai percaya dia berkelayakan menjalankan amalan pergigian.
“Justeru itu suspek didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 63(1)(d) Akta Pergigian 2018 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 63(2) Akta yang sama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




