am@hmetro.com.my
Kuala Krai: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh lembu melintas jalan di Kilometer 73 Jalan Kota Bharu – Gua Musang berhampiran Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Mohd Maizan Mustaffa berkata, kejadian berlaku kira-kira 2.17 pagi itu menyebabkan mangsa yang parah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa yang pada ketika itu menunggang motosikal Honda EX5 secara bersendirian dari arah Kuala Krai menghala ke rumahnya di Kampung Baru Pahi.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, lembu melintas jalan menyebabkan mangsa melanggar lembu berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan untuk tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Amirul Izham Azlan di talian 09-9666222.
© New Straits Times Press (M) Bhd




