Real tangguh putus masa depan Ancelotti

Real tangguh putus masa depan Ancelotti

Madrid: Carlo Ancelotti menegaskan sebarang keputusan mengenai masa depannya bersama Real Madrid hanya akan dibuat selepas musim berakhir, susulan kekalahan memalukan di tangan Arsenal dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Real pemegang rekod 15 kejuaraan UCL tersingkir di suku akhir selepas tewas 5-1 secara agregat kepada kelab Liga Perdana Inggeris itu, sekali gus mencetus spekulasi bahawa Ancelotti bakal dipecat dalam masa terdekat.

“Pada penghujung musim, kami akan berbincang tentang perkara ini dengan kelab,” kata Ancelotti dalam sidang media menjelang aksi La Liga menentang Athletic Bilbao Isnin ini.

Kontrak jurulatih berusia 65 tahun itu masih berbaki sehingga 2026. Namun, tekanan mula meningkat berikutan prestasi hambar musim ini, terutama dalam saingan Eropah.

“Kami semua sedar, kami perlu berjuang untuk baki trofi yang ada,” tambah Ancelotti, yang turut mengakui kekalahan itu sangat memeritkan buat seluruh pasukan dan penyokong.

Real kini ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Barcelona, dalam perebutan takhta La Liga, dan akan berdepan seteru tradisi itu dalam final Copa del Rey pada 26 April.

“Presiden (Florentino Perez) sentiasa beri sokongan dan kasih sayang paling tinggi kepada saya, terutamanya ketika saat-saat sukar begini,” ujar Ancelotti.

Nama Ancelotti turut dikaitkan dengan jawatan pengendali skuad kebangsaan Brazil selepas Dorival Junior dipecat berikutan kekalahan besar kepada Argentina, namun beliau enggan mengulas lanjut.

“Saya tak perlu cakap apa-apa sekarang. Seperti yang saya katakan, semuanya akan dibincangkan hujung musim ini,” katanya sambil mengakui tidak pasti sama ada ‘hujung musim’ itu termasuk Piala Dunia Kelab yang akan berlangsung di Amerika Syarikat mulai 14 Jun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top