Perlis ubah ‘transit’ jadi lubuk emas

Perlis ubah ‘transit’ jadi lubuk emas

KANGAR: Sekitar lima atau 10 tahun lalu, Perlis bukanlah negeri yang menjadi pilihan pelancong untuk datang bercuti, khususnya pada musim cuti sekolah, sebaliknya sekadar menjadi transit untuk mereka ke Pulau Langkawi, Kedah.

Perlis mulai menjadi fenomena dan tumpuan pelancong dari seluruh dunia selepas pandemik Covid-19, sekitar tahun 2022, dengan sektor pelancongan negeri berkeluasan 821 kilometer persegi itu melonjak mendadak.

Ia dibuktikan menerusi pertambahan kehadiran pelancong seramai 2.99 juta pada 2022, dua juta (2023), 3.2 juta (2024) dan mencecah 5.12 juta pada 2025. Peningkatan dianggarkan lebih 5.5 juta menjelang penghujung tahun ini.

Negeri ini kaya dengan keindahan alam semula jadi yang belum diterokai, selain sawah padi menghijau dan bukit batu kapur berusia jutaan tahun yang penuh keunikan.

Perlis ubah ‘transit’ jadi lubuk emas
KEINDAHAN semula jadi menjadi tarikan utama pengunjung yang menginap di Gua Kelam Chalet, Perlis.

Selain kerajaan negeri dan swasta, penduduk turut membantu mempromosikan lokasi menarik berlatarkan keindahan alam semula jadi yang tular di media sosial, sekali gus menarik lebih ramai pelancong.

Lonjakan sektor pelancongan di Perlis turut memberi limpahan besar kepada pengusaha inap desa yang kini melihatnya sebagai ‘lubuk emas’ menjana pendapatan.

Daripada hanya sekitar lima hingga lapan inap desa sebelum ini, jumlahnya kini mencecah 331, didorong permintaan pelancong yang semakin meningkat.

Pengusaha turut mengetengahkan pelbagai inovasi dan idea kreatif bagi menarik lebih ramai pengunjung untuk menginap.

Berdasarkan anggaran, jika 50 peratus daripada 331 inap desa menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM36,000 setahun, jumlah pendapatan keseluruhan boleh mencecah sekitar RM6 juta atau lebih.

331 INAP DESA PADA 2026

Pengurus Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (PPSSI)-Perlis Tourism, Mohd. Irzat Rozaidy Mohamad Roseli berkata, perkembangan pesat sektor pelancongan mendorong kerajaan negeri melancarkan agenda Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Katanya, perkembangan itu turut menyaksikan jumlah inap desa meningkat daripada 148 pada 2022 kepada 331 tahun ini, dengan tarikan seperti kolam, lokasi menarik, harga berpatutan serta pengalaman bercuti dalam suasana kampung dan alam semula jadi.

MOHD. IRZAT ROZAIDY MOHAMAD ROSELI

“Homestay atau inap desa di Perlis sentiasa penuh terutama ketika cuti sekolah, hujung minggu dan acara rasmi kerajaan.

“Sesetengah inap desa mampu menjana pendapatan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan bagi setiap bilik atau unit, manakala musim cuti sekolah boleh mencecah RM3,000.

“Pemilik yang mempunyai lima hingga 25 bilik atau unit pula mampu meraih sehingga RM250,000 setahun,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Antara inap desa menjadi pilihan ialah Homestay Wan Pa yang menawarkan pemandangan sawah dan bukit, selain konsep penginapan moden serta tradisional. Turut mendapat perhatian ialah Arau House berkonsep vila peribadi ala Sepanyol moden, The White Houze, One Cottage Family, The Green Hill, Ohsem Villa dan Villa Indah Kayangan.

Katanya, tarikan utama Perlis ialah suasana tenang untuk healing, keindahan alam, kos percutian rendah, jarak lokasi pelancongan yang dekat serta kedudukan bersempadan Thailand.

“Keunikan Harumanis, beruk kentoi, Banjaran Nakawan, ratusan kedai kopi dan pengaruh ilmuwan Islam turut menjadi tarikan.

“Selain itu, penganjuran acara seperti Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis, Perlis International Marathon, Perlis Agrofest, Nakawan Ultra dan Pesta Angin Timur terus merancakkan kunjungan,” katanya.

Lokasi ekopelancongan seperti Wang Kelian, Kaki Bukit, Bukit Keteri, Chuping, Timah Tasoh, Kampung Wai dan Pulau Ketam turut menjadi tumpuan di negeri itu.

PERKUKUH JENAMA

Sementara itu, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, kerajaan negeri akan meneruskan momentum sektor pelancongan negeri meskipun TMPs 2026 berakhir.

Usaha itu antaranya menerusi Perlis Tourism dan penubuhan jawatankuasa Segi Tiga Segenting Kra yang melibatkan Perlis, Satun dan Langkawi.

Katanya, kekuatan pelancongan Perlis berasaskan alam semula jadi selain Perlis Geopark merupakan antara aset strategik yang perlu terus diperkasakan.

“Seiring dengan itu, kerajaan negeri akan memperkenalkan produk pelancongan baharu dengan memperkukuh penjenamaan Royal Nakawan sebagai identiti pelancongan alam semula jadi bertaraf antarabangsa.

ABU BAKAR HAMZAH

“Inisiatif ini bukan sekadar mempromosikan keindahan Banjaran Nakawan, tetapi mengangkat kekayaan biodiversiti, warisan geologi, budaya tempatan serta pengalaman ekopelancongan sebagai produk pelancongan premium negeri Perlis.

“Saya yakin usaha ini akan terus memperkukuh kedudukan Perlis sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi yang bernilai tinggi, di samping memberi manfaat kepada ekonomi negeri dan memastikan khazanah alam terus dipelihara sebagai amanah generasi akan datang,” katanya.

Abu Bakar berkata, kehadiran ramai pelancong di Perlis memberi limpahan kepada ekonomi setempat apabila kedai makan, hotel dan inap desa dipenuhi pengunjung dari seluruh negara setiap kali musim cuti.

Katanya, Perlis juga mempunyai ratusan kedai kopi yang boleh menjadi tarikan kepada pelancong selain menawarkan makanan yang murah dan sedap.

“Jika dahulu, Perlis hanya mempunyai beberapa inap desa, namun kini jumlahnya mencecah ratusan dan sentiasa bertambah.

“Insya-Allah, fenomena orang berkunjung ke Perlis akan berterusan kerana suasana di negeri ini tenang dengan pemandangan memukau, sekali gus memberikan pengalaman berbeza berbanding negeri lain,” katanya.

17,000 PENGUNJUNG

Pemilik inap desa Kebun Harumanis Wan Pa, Nurul Azlie Adzame, 44, berkata, premisnya menerima sekitar 15,000 pelancong setahun dengan tempahan kerap penuh khususnya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Katanya, rata-rata pelancong memilih inap desa bagi merasai suasana percutian di kampung bersama keluarga selain menikmati keindahan alam semula jadi di negeri ini.

“Macam kami di sini turut menyediakan kemudahan tambahan seperti kolam untuk berkayak, kolam renang dan basikal bagi memudahkan pengunjung menjelajah kawasan kampung.

PEKERJA inap desa Kebun Harumanis Wan Pa menghias unit rumah bagi menyambut kehadiran pengunjung.

“Ia menjadi antara daya tarikan tambahan selain keindahan alam semula jadi di sini,” katanya.

Nurul Azlie berkata, semakin ramai penduduk di negeri ini memilih untuk mengusahakan perniagaan inap desa susulan potensi besar yang mampu dijana.

Katanya, kewujudan inap desa yang semakin bertambah turut merancakkan ekonomi penduduk setempat apabila mereka menerima limpahan daripada kehadiran pelancong ke negeri ini.

“Jika dilihat, banyak kedai makan tumbuh di sekitar kawasan inap desa. Malah, ada juga pihak yang menyediakan perkhidmatan seperti kenderaan pelbagai permukaan bumi (ATV), sekali gus membantu merancakkan ekonomi setempat,” katanya.

Pengusaha Country Road Homestay, John Thow, 56, berkata kebanyakan pengunjung memilih inap desa berbanding hotel bagi menikmati suasana kampung bersama keluarga.

Katanya, premisnya menerima kira-kira 17,000 pengunjung dalam dan luar negara setiap tahun.

“Potensi inap desa sangat baik, namun kerajaan perlu mewujudkan tarikan pelancongan baharu supaya pengunjung kembali ke Perlis bersama keluarga dan kenalan,” katanya.

Menurutnya, inap desa yang menyediakan kemudahan tambahan seperti kolam renang serta menawarkan pemandangan alam semula jadi turut mendapat sambutan pengunjung luar.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan dan Rekreasi Negeri Perlis (Trooper), Ku Hasrin Ku Abdul Rahman berkata, Perlis berpotensi besar sebagai destinasi pelancongan sukan berikutan keindahan alam semula jadi, khususnya Banjaran Nakawan.

Katanya, acara seperti Nakawan Ultra dan Perlis Ultra Maraton (Putra) membantu mempromosikan pelancongan sukan serta menarik ribuan peserta dari dalam dan luar negara.

“Acara sebegini memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat, selain memastikan inap desa sentiasa penuh.

“Padang Besar juga berpotensi diketengahkan sebagai destinasi pelancongan sempadan,” katanya.

Scroll to Top