Lelaki Orang Asli maut kenderaan terjunam ke tebing sungai setinggi 40 meter

Lelaki Orang Asli maut kenderaan terjunam ke tebing sungai setinggi 40 meter

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Lelaki Orang Asli maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki bersama lima lagi rakan sekerja terjunam ke tebing Sungai Belatop, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Jali Harun, 50, dari Pos Brooke maut di tempat kejadian apabila tersepit akibat dihempap pintu dan batu serta terbenam di dalam air.

Seorang lagi rakannya cedera di bahagian bahu manakala empat lagi cedera ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Nor Azizi Che Noh berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kampung Raja Cameron Highlands, Pahang menuju ke Tapak Projek Hidro.

“Apabila tiba di lokasi kejadian iaitu jambatan simpang ke Moon River Lodge, kenderaan yang dinaiki mangsa bersama rakan sekerja hilang kawalan lalu terjunam ke dalam cerun tebing Sungai Belatop setinggi 40 meter.

“Mangsa yang tersepit dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa yang terselamat dibawa naik oleh pihak bomba menggunakan tali.

“Pihak bomba mengambil masa sejam 15 minit untuk menyelamat dan mengeluarkan kesemua mangsa termasuk mangsa yang tersepit,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Nor Azizi berkata, bantuan kren turut digunakan untuk mengangkat kenderaan yg remuk ke atas jambatan bagi memudahkan kerja mengeluarkan mangsa tersepit.

Katanya operasi membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang dan BBP Cameron Highlands dengan kekuatan 19 anggota seramai 19 orang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top